Jumaat, 7 Oktober 2022 | 9:00am
 Putera Harry. - Foto REUTERS
Putera Harry. - Foto REUTERS

Putera Harry, Elton John dakwa Daily Mail intip perbualan telefon - Firma guaman

LONDON: Putera Harry dari Britain, penyanyi Elton John dan beberapa individu lain mengambil tindakan undang-undang terhadap penerbit akhbar Daily Mail yang didakwa mengintip perbualan telefon dan melanggar privasi, kata firma guaman untuk kumpulan itu pada Khamis.

Bagaimanapun Associated Newspapers, penerbit Daily Mail, The Mail on Sunday dan Mail Online, menafikan dakwaan itu.

Kumpulan itu termasuk pelakon Elizabeth Hurley dan Sadie Frost, rakan kongsi Elton John dan pembuat filem David Furnish, dan Doreen Lawrence, ibu kepada remaja kulit hitam Stephen Lawrence yang dibunuh dalam serangan perkauman pada 1993.

Individu berkenaan menyedari terdapat bukti yang menunjukkan pelanggaran privasi oleh Associated Newspaper termasuk meletakkan peranti pendengaran di dalam kereta dan rumah serta memulakan pengintipan perbualan telefon peribadi secara langsung, kata firma guaman Hamlins dalam satu kenyataan.

"Mereka kini bersatu untuk mendedahkan kebenaran dan untuk meminta wartawan bertanggungjawab sepenuhnya, kebanyakan mereka masih berkuasa dan memegang jawatan kanan," kata Hamlins dalam kenyataannya.

Hamlins mewakili Harry yang juga anak bongsu Raja Charles dan Frost, manakala Lawrence, Hurley, John dan Furnish diwakili firma guaman lain, menurut kenyataan itu.

Sementara itu jurucakap penerbit berkata pihaknya secara jelas menafikan dakwaan itu yang disifatkan fitnah tidak masuk akal.

"Tuntutan yang tidak berasas dan sangat memfitnah ini berdasarkan tiada bukti yang boleh dipercayai, sebaliknya hanya percubaan untuk menemukan fakta dengan mengumpul banyak maklumat oleh pihak yang menuntut dan peguam mereka, yang sebahagian daripadanya telah meneruskan kes di tempat lain."

Hubungan Harry dan isterinya Meghan dengan akhbar tabloid Britain terjejas selepas mereka berkahwin pada 2018.

Pasangan diraja itu sebelum ini berkata mereka mempunyai 'hubungan sifar' dengan empat akhbar utama Britain termasuk Daily Mail dan menuduh akhbar berkenaan membuat berita palsu dan liputan invasif.

Pasangan itu juga menegaskan pencerobohan media sebagai faktor utama dalam keputusan mereka melepaskan tugas diraja dan berpindah ke Amerika Syarikat. - REUTERS

Berita Harian X