Jumaat, 7 Oktober 2022 | 8:23am
Foto fail, Prof Nicholas Stern.
Foto fail, Prof Nicholas Stern.

Perubahan iklim mampu 'bunuh dalam skala besar' - Pakar

LONDON: Perubahan iklim dan pencemaran udara telah membunuh manusia 'dalam skala besar', kata pakar pemanasan global terkemuka, Prof Nicholas Stern, yang memberi amaran mengenai perkara itu pada persidangan tenaga di London, semalam.

Warga Britain yang juga pengarang laporan penting pada 2006 mengenai kesan ekonomi akibat pemanasan global itu berucap pada perhimpunan industri, Forum KecerdasanTenaga.

"Kita membunuh manusia secara besar-besaran melalui pencemaran udara dan banyak lagi.

"Lonjakan suhu antara tiga hingga empat darjah Celsius juga kemungkinan berlaku," katanya kepada perwakilan termasuk eksekutif tertinggi.

Peningkatan itu disifatkan sebagai sesuatu yang 'dahsyat' dan menyebabkan suhu yang melampau di negara dengan kepadatan penduduk tinggi seperti China dan India.

"Kami bercakap mengenai potensi kematian ratusan juta atau berbilion manusia," kata profesor di Sekolah Ekonomi London.

Di bawah Perjanjian Paris 2015, banyak negara berjanji untuk mencapai sifar pelepasan karbon menjelang pertengahan abad ini dengan objektif untuk mengehadkan peningkatan suhu global kepada dua darjah Celsius dan sebaik-baiknya kepada 1.5 darjah Celsius.

Kumpulan pakar percaya peluang untuk mencapai objektif berkenaan semakin sukar dicapai dan telah memberi amaran kesannya mungkin menjadi lebih teruk.

"Kami tidak melihat peningkatan (suhu) tiga darjah Celsius selama tiga juta tahun, begitulah sebelum 'homo sapiens'," katanya.

Pemanasan pada magnitud ini boleh menyebabkan kenaikan paras laut sekitar 10 hingga 20 meter, menenggelamkan beberapa kawasan dan menggugat kehidupan.

"Kita tidak tahu betapa dekatnya (kita) dengan keruntuhan sistem Amazon atau pencairan 'permafrost' yang akan membebaskan sejumlah besar metana gas rumah hijau atau pencairan ais Antartika.

"Tetapi kita cukup tahu untuk mengenal pasti risiko berkenaan," katanya.

Stern menegaskan, laporannya yang berpengaruh pada 2006 dan dilabel sebagai mencetuskan panik oleh sesetengah pihak pada masa itu, pada hakikatnya tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Beliau turut mengalu-alukan langkah awal sektor tenaga ke arah peralihan daripada bahan api fosil. - AFP

Berita Harian X