Jumaat, 7 Oktober 2022 | 7:21am
Foto fail REUTERS
Foto fail REUTERS

Gelombang baharu COVID-19 di Eropah, kempen dos penggalak perlahan

FRANKFURT: Gelombang baharu COVID-19 berlaku di Eropah sejajar dengan ketibaan cuaca lebih sejuk selain pakar kesihatan awam memberi amaran kekeliruan terhadap jenis vaksin mungkin akan mengehadkan pengambilan dos penggalak.

Subvarian Omicron BA.4/5 yang mendominasi pada musim panas berada di belakang majoriti jangkitan, dengan subvarian Omicron yang lebih baharu semakin mendapat tempat.

Ratusan bentuk baharu Omicron sedang dikesan oleh saintis, kata pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu ini.

Data WHO yang dikeluarkan lewat Rabu menunjukkan kes di Kesatuan Eropah (EU) mencecah 1.5 juta minggu lalu, meningkat lapan peratus daripada minggu sebelumnya, walaupun kejatuhan dramatik dalam ujian. Di peringkat global, bilangan kes terus menurun.

Bilangan kemasukan ke hospital di banyak negara dalam blok 27 negara, serta Britain, meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada minggu berakhir pada 4 Oktober, kemasukan ke hospital akibat COVID-19 dengan simptom melonjak hampir 32 peratus di Itali, manakala kemasukan ke unit rawatan rapi meningkat kira-kira 21 peratus, berbanding minggu sebelumnya, menurut data yang dikumpulkan oleh yayasan saintifik bebas, Gimbe.

Sepanjang minggu yang sama, kemasukan ke hospital di Britain menyaksikan peningkatan 45 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Vaksin yang disesuaikan dengan Omicron dilancarkan di Eropah pada September, dengan dua dos bagi bagi menangani BA.1 serta subvarian BA.4/5 yang disediakan bersama vaksin generasi pertama sedia ada.

Pegawai Eropah dan British mengesahkan dos penggalak terkini hanya untuk kumpulan orang terpilih, termasuk warga emas tua dan mereka yang mempunyai sistem imun terjejas.

Perkara yang lebih merumitkan adalah pilihan" vaksin sebagai penggalak, yang mungkin akan menambah kekeliruan, kata pakar kesihatan awam.

Bagaimanapun kesanggupan untuk mendapatkan satu lagi dos, sekali gus menjadi dos keempat atau kelima bagi sesetengah orang, adalah tipis.

"Bagi mereka yang mungkin kurang mengambil berat mengenai risiko, mesej bahawa semuanya telah berakhir ditambah dengan kekurangan sebarang kempen publisiti utama berkemungkinan mengurangkan pengambilan," kata Martin McKee, profesor kesihatan awam Eropah di London School of Hygiene and Tropical Medicine.

Sejak 5 September, apabila pelancaran vaksin baharu bermula di EU, kira-kira 40 juta dos vaksin yang dihasilkan oleh Pfizer-BioNTech dan Moderna dihantar ke negara anggota, menurut data dari Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC).

Walau bagaimanapun, dos vaksin mingguan yang diberikan di EU hanya antara satu juta dan 1.4 juta pada September, berbanding dengan enam hingga 10 juta seminggu dalam tempoh tahun sebelumnya, data ECDC menunjukkan.

Mungkin cabaran terbesar ialah persepsi bahawa wabak telah berakhir, mewujudkan rasa selamat yang palsu.

"Mesti ada sedikit rasa puas dalam kehidupan seolah-olah telah kembali normal - sekurang-kurangnya berkaitan dengan COVID dan orang ramai kini mempunyai kebimbangan berkaitan kewangan dan peperangan yang lain," kata Adam Finn, pengerusi ETAGE, sebuah kumpulan pakar yang menasihati WHO mengenai penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin di Eropah.

Sementara itu, pegawai Britain minggu lalu memberi amaran penularan baharu selesema dan kebangkitan semula kes COVID-19 boleh memberi tekanan kepada Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) yang sudah berlarutan. - REUTERS

Berita Harian X