Khamis, 6 Oktober 2022 | 6:28pm
Lebih 300,000 ahli kesatuan jururawat terbesar Britain mula mengundi hari ini untuk mogok menuntut kenaikan gaji. - Foto REUTERS
Lebih 300,000 ahli kesatuan jururawat terbesar Britain mula mengundi hari ini untuk mogok menuntut kenaikan gaji. - Foto REUTERS

Jururawat UK mula undian mogok terbesar lebih 100 tahun

LONDON: Lebih 300,000 ahli kesatuan kejururawatan terbesar Britain mula mengundi hari ini, susulan mogok menuntut kenaikan gaji seiring lonjakan inflasi, selain muncul sebagai undian terbesar dalam sejarah 106 tahunnya.

Kolej Kejururawatan Diraja berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian susulan potongan gaji menghalang orang ramai menyertai Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) dibiayai kerajaan, menyebabkan jurang besar kakitangan di seluruh perkhidmatan di United Kingdom (UK).

Setiausaha Agung dan Ketua Eksekutifnya, Pat Cullen, berkata pihaknya kekurangan kakitangan, nilai dan gaji.

"Beberapa tahun profesion kami dianaktirikan dan kini keselamatan pesakit yang terkesan," katanya.

Kesatuan itu berkata, ia mahu kenaikan gaji sebanyak lima peratus berbanding inflasi bagi mengatasi potongan gaji jangka sebenar, ketika ahlinya bergelut menangani lonjakan kos sara hidup yang melambung tinggi.

Menerusi gaji inflasi itu, katanya, pekerja tidak mampu meneruskan atau menyertai profesion berkenaan, selain menjelaskan 'penjagaan pesakit berisiko' disebabkan ribuan pekerjaan kejururawatan tidak diisi di seluruh Britain.

Jurucakap Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial kerajaan berharap jururawat akan mempertimbangkan dengan teliti kesan sebarang mogok terhadap pesakit.

"Kami menghargai kerja keras jururawat NHS dan sentiasa menyokong mereka," katanya sambil menyatakan kenaikan gaji sebelum ini sudah diberikan kepada sektor itu.

NHS menghadapi krisis tunggakan kakitangan paling teruk bagi penjagaan.

NHS menyediakan penjagaan kesihatan percuma sejak 1948, juga menyaksikan peningkatan rekod bilangan orang menunggu memulakan rawatan rutin hospital serta masa menunggu di jabatan kemalangan dan kecemasan. - REUTERS

Berita Harian X