Khamis, 6 Oktober 2022 | 8:27am
Pihak berkuasa dan penduduk tempatan di pulau Kythira di selatan Athens, Greece menyelamatkan seorang mangsa bot karam. - Foto AP
Pihak berkuasa dan penduduk tempatan di pulau Kythira di selatan Athens, Greece menyelamatkan seorang mangsa bot karam. - Foto AP

2 bot bawa PATI tenggelam di Greece, 15 maut

ATHENS: Sekurang-kurangnya 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) maut selepas dua bot yang mereka naiki karam di perairan Greece semalam.

Pasukan pengawal pantai berkata 15 mayat ditemui di timur kepulauan Lesbos selepas sebuah bot getah membawa kira-kira 40 PATI tenggelam dan lima dapat diselamatkan manakala baki mangsa masih hilang.

Sementara itu, sebuah bot layar yang membawa 100 PATI dikhuatiri tenggelam akibat angin kencang selepas terlanggar batu di pulau Kythira, kira-kira 225 kilometer (km) di selatan Athens, Greece semalam.

Susulan itu, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) berskala besar sedang dijalankan menggunakan kapal, bot persendirian dan sebuah helikopter penyelamat.

Pegawai berkata, 30 mangsa berjaya diselamatkan setakat ini selepas bot berkenaan terlanggar batu tetapi sehingga kini tiada butiran lain mengenai yang hilang.

"Difahamkan, bot layar itu melanggar batu di luar pelabuhan kampung Diakofti di timur pulau itu di mana ketika itu angin adalah bertiup sehingga 70 kilometer sejam," menurut pegawai itu.

Penduduk, Martha Stathaki, berkata mereka melihat bot itu melanggar batu dan orang ramai cuba memanjat batu untuk menyelamatkan diri.

"Ia adalah pemandangan yang menyayat hati lagi sukar dipercayai dan semua penduduk di sini turun ke pelabuhan untuk membantu," katanya.

Sementara itu, pasukan penyelamat bomba menurunkan tali untuk membantu mangsa memanjat tebing di pinggir laut.

Pegawai tempatan berkata, sebuah sekolah di kawasan itu akan dibuka untuk menyediakan tempat berteduh bagi mangsa yang diselamatkan.

Kebanyakan pendatang yang tiba di Greece melakukan perjalanan dari negara jiran Turki, tetapi penyeludup telah menukar laluan beberapa bulan kebelakangan ini dalam usaha untuk mengelak melalui perairan dikawal ketat di sekitar pulau Greek berhampiran pantai Turki.

Kythira terletak kira-kira 400km di barat Turki dan di laluan yang sering digunakan oleh penyeludup untuk memintas Greece dan menuju terus ke Itali. - AP

Berita Harian X