Khamis, 6 Oktober 2022 | 8:02am
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen (kiri) menyambut Presiden Parlimen Eropah, Roberta Metsola, sebelum sesi Parlimen Eropah bagi membincangkan perang Russia di Ukraine, di Strasbourg, timur Perancis. - Foto AFP
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen (kiri) menyambut Presiden Parlimen Eropah, Roberta Metsola, sebelum sesi Parlimen Eropah bagi membincangkan perang Russia di Ukraine, di Strasbourg, timur Perancis. - Foto AFP

EU setuju pakej sekatan baharu ke atas Russia

BRUSSELS: Negara Kesatuan Eropah (EU) mencapai persetujuan mengenai pakej sekatan kelapan terhadap Russia sebagai tindak balas kepada pergerakan separa tentera baru-baru ini dan penaklukan haram empat wilayah di Ukraine.

"Duta (EU) mencapai persetujuan politik mengenai sekatan baharu terhadap Russia sebagai tindak balas EU terhadap penaklukan haram wilayah Ukraine oleh Putin," lapor Agensi Anadolu memetik pengumuman Czech selaku presiden Majlis EU.

Langkah itu termasuk larangan mengangkut minyak ke negara bukan EU melebihi harga tertentu, kebanyakannya menjejaskan industri perkapalan Greece, pentadbiran Cyprus Greek dan Malta.

Blok itu juga melanjutkan larangan importnya ke atas produk keluli, pulpa kayu, kertas, mesin dan peralatan, bahan kimia, plastik dan rokok ke Russia, kata Presiden EU itu.

Menurut anggaran Suruhanjaya Eropah, langkah itu akan menyebabkan Russia kehilangan pendapatan sebanyak €7 bilion (RM32 bilion) setiap tahun.

EU mengehadkan lagi eksport teknologi maklumat (IT), kejuruteraan dan perkhidmatan undang-undang ke Russia serta menambah senarai barangan berteknologi tinggi yang tidak boleh dijual kepada negara itu.

Pakej baharu itu juga tambahan kepada senarai sekatan terhadap individu yang bertanggungjawab memindahkan lebih 300,000 rakyat Russia,

Mereka juga bertanggungjawab mengadakan pungutan suara baru-baru ini di empat wilayah Ukraine yang membawa kepada Moscow mengisytiharkan pengilhakan empat wilayah Ukraine, satu langkah yang dikecam secara meluas, tambah laporan itu.

Sejak permulaan perang Russia di Ukraine pada Februari lalu, sekatan EU antara lain menyasarkan Presiden Russia, Vladimir Putin dan Menteri Luar, Sergey Lavrov.

EU juga mengharamkan import emas, minyak dan arang batu Russia serta eksport barangan mewah dan berteknologi tinggi selain mengecualikan bank Russia dan Belarus daripada sistem pembayaran antarabangsa SWIFT. - BERNAMA

Berita Harian X