Sabtu, 27 Ogos 2022 | 6:11pm
Paras air Sungai Rhine dijangka semakin menurun. - Foto ABC News
Paras air Sungai Rhine dijangka semakin menurun. - Foto ABC News

Gelombang haba: Paras air Sungai Rhine dijangka makin cetek

BERLIN: Paras air Sungai Rhine, dekat sini dijangka makin menurun berikutan fenomena gelombang haba yang melanda sebahagian besar Eropah, sekali gus menjejaskan perkhidmatan pengangkutan kargo ke kawasan pedalaman sungai itu menjadi lebih mencabar, menurut ramalan terkini oleh Pentadbiran Laluan Air dan Perkapalan (WSV) Jerman.

"Paras air rendah di Sungai Rhine serta beberapa sungai lain pada masa ini menjejaskan pengangkutan barang di laluan air di bahagian pedalaman dan menjadikannya lebih sukar untuk mengekalkan penghantaran rantaian bekalan," kata Pejabat Perangkaan Persekutuan (DESTASTIS) semalam, lapor agensi berita Xinhua.

Ketika berlaku kemarau pada penghujung 2018, jumlah pengangkutan kargo di laluan air di pedalaman Jerman turun lebih satu pertiga untuk sementara

Ekonomi di Jerman sangat sensitif terhadap sebarang gangguan di Rhine yang juga sungai terbesar di negara itu dan laluan perairan paling sibuk di Eropah.

Institut Kiel Jerman untuk Ekonomi Dunia (IfW Kiel) baru-baru ini mengeluarkan amaran, walaupun paras air di stesen pemantauan di Kaub kini meningkat, jumlah keluaran industri akan menurun sekitar satu peratus sekiranya ia jatuh di bawah paras kritikal iaitu 78 sentimeter selama 30 hari.

Perkapalan pedalaman di Jerman amat penting untuk sumber tenaga seperti arang batu dan gas asli.

Naib Presiden IfW, Stefan Kooths, berkata sekatan ke atas pengangkutan melalui Rhine akan 'menjejaskan rantaian bekalan yang ketika ini dalam situasi amat tegang.

Bagi mendapatkan bekalan tenaga yang mencukupi dalam situasi sekarang, Jerman baru-baru ini memutuskan untuk mengutamakan pengangkutan rel bagi penghantaran berkaitan tenaga berbanding pengangkutan penumpang.

"Malah kereta api penumpang hanya boleh berjalan jika grid kuasa dan bekalan kuasa kita stabil," kata Menteri Pengangkutan, Volker Wissing.

Persatuan industri negara itu, BDI, bagaimanapun menganggap pertukaran dari kapal ke kereta api sukar disebabkan kesesakan kereta api semasa, pandemik dan kekurangan pemandu.

BDI berpandangan, mereka hanya menunggu masa sebelum kesesakan bekalan selanjutnya dan pengurangan pengeluaran atau penutupan melanda industri.

"Ahli politik, ekonomi dan masyarakat mesti bersiap sedia untuk menerima hakikat bahawa tempoh kering seperti itu bukan lagi hanya pengecualian pada masa depan, tetapi satu peraturan," kata Pengarah Urusan BDI, Holger Loesch memberi amaran awal bulan ini.

Fenomena kemarau ketika ini meliputi sebahagian besar Eropah dan yang terburuk untuk sekurang-kurangnya 500 tahun, kata Suruhanjaya Eropah.

Suhu panas melampau terus melanda sebahagian kawasan di Eropah, yang hampir belum pulih daripada gelombang haba sebelum ini.

Sepanyol dan Portugal antara yang turut dilanda musim kemarau dan kebakaran hutan, manakala cuaca panas dan terik telah merebak ke Perancis dan United Kingdom. – AGENSI

Berita Harian X