Selasa, 16 Ogos 2022 | 9:59am
Botol vaksin COVID-19 Moderna yang khusus bagi menentang coronavirus versi asal dan varian Omicron sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa kesihatan United Kingdom (UK). - Foto AP
Botol vaksin COVID-19 Moderna yang khusus bagi menentang coronavirus versi asal dan varian Omicron sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa kesihatan United Kingdom (UK). - Foto AP

UK lulus vaksin COVID-19 khusus bagi varian Omicron

LONDON: Britain meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 berasaskan varian yang khusus menyasarkan virus versi asal dan varian Omicron.

Kelulusan itu diberikan Agensi Pengawal Selia Produk Ubat-Ubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA), bagi menggunakan vaksin yang dihasilkan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Moderna, sebagai dos penggalak untuk golongan dewasa.

Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) pula menyokong penggunaan vaksin itu bermula September ini.

Keputusan itu dibuat berdasarkan data ujian klinikal yang menunjukkan dos penggalak terbabit mampu membina tindak balas imun yang kuat terhadap kedua-dua varian Omicron (BA 1) dan versi asal.

MHRA turut memetik data analisis di mana dos keempat itu mampu membina tindak balas imun yang baik terhadap varian Omicron BA.4 dan BA.5 yang dominan ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MHRA, June Raine, berkata walaupun vaksin COVID-19 sedia ada mampu menyediakan perlindungan, keberkesanannya tergugat disebabkan mutasi virus berkenaan.

Apa yang diberikan vaksin bivalen ini ialah pertahanan dan perlindungan untuk kita melawan penyakit terbabit kerana virus ini terus bermutasi," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, pegawai Agensi Perubatan Eropah (EMA) menjangkakan vaksin baharu itu bakal diluluskan dalam Kesatuan Eropah (EU) menjelang September ini, sekali gus memberi isyarat bahawa pihak berkuasa terbuka untuk menggunakan vaksin yang menyasarkan varian BA 1.

Dalam pada itu, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) AS memaklumkan pihaknya akan mendapatkan kelulusan khusus vaksin terhadap varian baharu BA 4 dan BA 5 dalam penggunaan dos pada peringkat domestik.

Institut Serum India yang menghasilkan vaksin AstraZeneca di bawah jenama Covishield pula memberitahu, vaksin khusus bagi Omicron dijangka digunakan di negara berkenaan dalam tempoh enam bulan lagi.

Pfizer Inc dan BioNTech juga sedang menguji vaksin versi mRNA mereka untuk disesuaikan bagi melawan coronavirus varian Omicron. - REUTERS

Berita Harian X