Sabtu, 23 Julai 2022 | 5:26pm
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus

WHO akan tentukan sama ada cetus amaran tertinggi cacar monyet

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dijangka mengisytiharkan sama ada cacar monyet perlu diklasifikasikan sebagai kecemasan kesihatan global, amaran tertinggi yang boleh dikeluarkan berikutan peningkatan kes membabitkan wabak itu.

WHO dalam kenyataan semalam, berkata ketua pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus dijangka berucap dalam sidang media virtual pada jam 1 tengah hari.

Ia bagaimanapun tidak mendedahkan apa yang bakal diumumkan.

Sehingga 20 Julai lalu, seramai 15,800 orang di 72 negara dijangkiti cacar monyet berdasarkan kiraan oleh Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan (CDC) Amerika Syarikat (AS).

Peningkatan jangkitan cacar monyet dilaporkan sejak awal Mac lalu di luar negara Barat dan negara Afrika Tengah, di mana penyakit itu sudah lama diklasifikasikan sebagai endemik.

Pada 24 Jun lalu, WHO mengadakan jawatankuasa kecemasan (EC) terdiri pakar bagi menentukan sama ada cacar monyet sebagai Kecemasan Kesihatan bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), yang juga tahap amaran tertinggi agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, majoriti menasihati Tedros bahawa keadaan pada ketika itu tidak mencapai tahap ambang.

Pertemuan kedua diadakan pada Khamis lalu dan jumlah kes semakin meningkat, di mana Tedros memaklumkan beliau bimbang.

"Saya memerlukan nasihat anda dalam menilai implikasi segera kesihatan awam dan jangka sederhana," menurut Tedros.

Bagaimanapun, seorang pakar kesihatan AS mengeluarkan amaran keras semalam.

"Sejak EC #cacarmonyet beberapa minggu lalu, kami melihat peningkatan yang eksponen dalam kes.

"Dalam tempoh beberapa minggu dan bulan akan datang, kes akan meningkat secara mendadak serta tidak dapat dielakkan. Itulah sebabnya @DrTedros perlu membunyikan penggera global.

"Kegagalan untuk bertindak akan membawa kesan buruk kepada kesihatan global," menurut Lawrence Gostin, Pengarah Pusat Kerjasama WHO mengenai Undang-undang Kesihatan Kebangsaan dan Global menerusi Twitter.

Pada 1970, jangkitan virus yang menyerupai cacar itu dikesan buat pertama kalinya dikesan pada manusia, bagaimanapun, cacar monyet kurang berbahaya dan berjangkit berbanding cacar, yang sudah dihapuskan pada 1980. - AFP

Berita Harian X