Jumaat, 22 Julai 2022 | 7:53am
Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto fail REUTERS
Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto fail REUTERS

WHO pertimbang klasifikasi cacar monyet kecemasan kesihatan global

GENEVA: Pakar kini sedang membincangkan sama ada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu mengklasifikasikan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global, amaran tertinggi yang boleh dikeluarkan.

Mesyuarat kedua jawatankuasa kecemasan WHO mengenai virus itu sedang diadakan untuk mengkaji keadaan yang dilihat semakin serius dengan hampir 15,400 kes dilaporkan dari 71 negara, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS).

Lonjakan jangkitan cacar monyet dilaporkan sejak awal Mei di luar negara Afrika Barat dan Afrika Tengah yang mana penyakit itu telah lama menjadi endemik.

Pada 23 Jun, WHO mewujudkan jawatankuasa pakar kecemasan untuk memutuskan sama ada cacar monyet boleh diklasifikasikan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) - tahap amaran tertinggi agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun majoriti menasihatkan Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada ketika itu bahawa keadaan belum mencapai ambang.

Mesyuarat kedua dipanggil ketika bilangan kes semakin meningkat.

"Saya memerlukan nasihat anda dalam menilai implikasi kesihatan awam jangka masa serta-merta," kata Tedros pada permulaan mesyuarat.

Jika jawatankuasa menasihati Tedros bahawa wabak itu membentuk PHEIC, ia akan mengesyorkan cadangan sementara mengenai cara mencegah dan mengurangkan penularan penyakit itu dengan lebih baik dan mengurus tindak balas kesihatan awam global.

Namun tiada ketetapan waktu bila keputusan itu akan didedahkan kepada umum.

Sembilan puluh lapan peratus daripada kes yang dilaporkan "adalah dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM) - dan terutamanya mereka yang mempunyai beberapa pasangan tidak diketahui atau ramai pasangan baharu," menurut ketua teknikal WHO untuk cacar monyet Rosamund Lewis, pada sidang media pada Rabu.

Mereka lazimnya golongan muda dan terutamanya berada di bandar, menurut WHO.

Tedros berkata pihaknya berdepan cabaran apabila beberapa negara, komunitinya berdepan diskriminasi yang mengancam nyawa.

"Terdapat kebimbangan yang sangat nyata bahawa lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki boleh menjadi stigma atau dipersalahkan untuk wabak itu, menjadikan wabak itu lebih sukar untuk dikesan dan dihentikan," katanya dalam mesyuarat berkenaan.

Tedros berkata perhimpunan jawatankuasa pertama membantu menggambarkan dinamik wabak berkenaan tetapi beliau tetap bimbang mengenai jumlah kes.

Walaupun terdapat trend penurunan yang jelas di beberapa negara, enam negara melaporkan kes pertama minggu lalu.

"Apabila wabak itu berkembang, adalah penting untuk menilai keberkesanan campur tangan kesihatan awam dalam tetapan yang berbeza, untuk lebih memahami apa yang berkesan, dan apa yang tidak," katanya.

Tedros berkata maklumat yang datang dari negara endemik di Afrika adalah "sangat kurang", menjadikannya sukar untuk mencirikan keadaan di rantau itu.

Jangkitan virus menyerupai cacar dan pertama kali dikesan dalam kalangan manusia pada 1970, cacar monyet kurang berbahaya dan berjangkit berbanding cacar, yang dibasmi pada 1980.

Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah sehingga Isnin lalu, 7,896 kes yang disahkan dilaporkan dari 27 negara di Kawasan Ekonomi Eropah.

Yang paling teruk terjejas ialah Sepanyol dengan 2,835 kes, Jerman (1,924), Perancis (912), Belanda (656) dan Portugal (515).

"Amalan seksual tertentu berkemungkinan besar memudahkan dan boleh memudahkan lagi penularan cacar monyet dalam kalangan kumpulan MSM," katanya.

Syarikat Denmark, Bavarian Nordic adalah satu-satunya makmal yang mengeluarkan vaksin berlesen terhadap cacar monyet dan dos kini dalam bekalan yang terhad.

Penolong Setiausaha Hal Ehwal Global Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS, Loyce Pace, berkata ia "sangat sukar" bagi dunia untuk menangani cacar monyet di samping COVID-19 dan krisis kesihatan lain.

"Saya tahu ia boleh menakutkan... dan, terus terang, meletihkan," katanya kepada pemberita di misi AS di Geneva. - AFP

Berita Harian X