Khamis, 21 Julai 2022 | 12:48pm
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AGENSI
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AGENSI

WHO akan putuskan status kecemasan cacar monyet

GENEVA: Pasukan pakar dalam jawatankuasa cacar monyet di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersidang semula hari ini untuk memutuskan sama ada wabak itu dianggap sebagai kecemasan kesihatan global, iaitu amaran peringkat tertinggi.

Mesyuarat kedua jawatankuasa kecemasan WHO mengenai virus itu akan diadakan bagi meneliti bukti berhubung jangkitan yang semakin memburuk, dengan hampir 14,000 kes dikesan di lebih 70 negara.

Peningkatan kes cacar monyet dilaporkan sejak awal Mei lalu di luar negara Barat dan Afrika Tengah, di mana wabak itu sudah menjadi endemik sejak sekian lama.

Pada 23 Jun lalu, jawatankuasa kecemasan WHO itu bersidang bagi memutuskan sama ada wabak itu wajar dianggap sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Keprihatinan Antarabangsa (PHEIC), iaitu tahap amaran tertinggi WHO.

Namun, majoriti pakar memaklumkan kepada Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus bahawa keadaan ketika itu belum mencapai penanda aras PHEIC.

Hari ini, sidang kedua akan diadakan dengan jumlah kes terus melonjak serta tersebar di enam lagi negara sepanjang minggu lalu.

Sekiranya jawatankuasa itu menasihatkan Tedros bahawa wabak berkenaan mencapai status PHEIC, WHO akan mengusulkan saranan sementara mengenai kaedah terbaik mengurangkan penularan dan mengurus tindak balas kesihatan awam global.

Namun, tiada jangka masa berhubung hasil mesyuarat itu akan dimaklumkan kepada umum.

Jawatankuasa berkenaan akan meneliti pola dan data semasa, keberkesanan tindak balas yang sudah diambil dan membuat saranan mengenai apa yang perlu dilaksanakan negara dan komuniti untuk mengatasi penularan cacar monyet.

Walau apa pun keputusan jawatankuasa itu, Tedros memberi jaminan WHO akan terus melakukan segala yang termampu untuk menghentikan penularan cacar monyet dan menyelamatkan nyawa.

Cacar monyet adalah wabak virus yang seakan-akan cacar dan mula dikesan menjangkiti manusia pada 1970, namun ia kurang berbahaya dan berjangkit berbanding cacar, yang sudah dihapuskan pada 1980.

Isnin lalu, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah melaporkan 7,896 kes baharu cacar monyet di 27 negara dalam Kawasan Ekonomi Eropah, dengan yang paling teruk terkesan adalah Sepanyol (2,835 kes), disusuli Jerman (1,924 kes), Perancis (912 kes), Belanda (656 kes) dan Portugal (515 kes). - AFP

Berita Harian X