Khamis, 7 Julai 2022 | 11:57am
Penduduk Yaman yang menjadi mangsa perang atau konflik di kem pelarian Hays di wilayah barat, Hodeida, terpaksa bergantung kepada bantuan makanan untuk mengelakkan kelaparan. - Foto AFP
Penduduk Yaman yang menjadi mangsa perang atau konflik di kem pelarian Hays di wilayah barat, Hodeida, terpaksa bergantung kepada bantuan makanan untuk mengelakkan kelaparan. - Foto AFP

Penduduk dunia yang kelaparan meningkat kepada 828 juta - PBB

ROME: Jumlah penduduk dunia yang kelaparan meningkat kepada 828 juta tahun lalu, naik 46 juta orang berbanding tahun sebelumnya, lapor Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Laporan Keadaan Keselamatan Makanan dan Nutrisi (SOFI) 2022, menunjukkan data terbaru mengenai nutrisi dan akses makanan pada peringkat global, termasuk anggaran terkini kos dan kemampuan pemakanan sihat.

Menurut laporan itu, jumlah individu yang kelaparan di seluruh dunia meningkat kepada 150 juta orang sejak pandemik COVID-19.

Perkembangan itu berisiko untuk terus menyukarkan masyarakat antarabangsa mencapai Matlamat Ke-2 dalam Agenda Pembangunan Kemampanan PBB, iaitu menamatkan kelaparan dan kekurangan zat menjelang 2030.

"Selepas kekal tidak banyak berubah sejak 2015, jumlah individu terkesan dengan kelaparan melonjak pada 2020, dan terus meningkat pada 2021 kepada 9.8 peratus daripada jumlah penduduk dunia.

"Sebagai perbandingan, lapan peratus dicatat pada 2019 dan 9.3 peratus pada 2020," menurut laporan itu.

Selain itu, jumlah individu yang tidak mampu memiliki diet sihat meningkat sebanyak 112 juta kepada hampir 3.1 bilion, yang menggambarkan kesan peningkatan harga makanan ketika pandemik.

Agensi itu berpandangan, jumlah sebenar mungkin lebih besar selepas data akhir mengenai kehilangan pendapatan pada 2020 diperoleh.

"Perang yang berlaku di Ukraine menjejaskan rantaian bekalan dan terus menaikkan harga bijirin, baja dan sumber tenaga, menyebabkan harga makanan terus melonjak pada suku pertama 2022.

"Pada masa sama, bencana alam dan cuaca melampau yang lebih kerap lagi teruk turut menjejaskan rantaian bekalan, khususnya di negara berpendapatan rendah," kata laporan itu.

Kira-kira 2.3 bilion penduduk atau 29.3 peratus penduduk global berdepan isu keselamatan makanan sederhana atau teruk tahun lalu, peningkatan sebanyak 350 juta orang berbanding sebelum pandemik.

Hampir 924 juta individu atau 11.7 peratus penduduk global berdepan isu keselamatan makanan pada peringkat serius, peningkatan sebanyak 207 juta dalam tempoh dua tahun.

Kira-kira 45 juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun pula berdepan penyusutan berat badan (kesan paling bahaya akibat kekurangan zat) tahun lalu.

Secara keseluruhan, pertumbuhan dan perkembangan sekitar 149 juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun terbantut akibat kekurangan zat penting yang kronik, manakala 39 juta mengalami lebihan berat badan.

Melihat ke hadapan, SOFI mengunjurkan hampir 670 juta orang atau lapan peratus daripada penduduk dunia, masih akan berdepan kelaparan pada 2030, meskipun dengan mengambil kira pemulihan ekonomi global.

Justeru, agensi PBB itu menggesa kerajaan menyelaraskan sumber yang ada untuk meningkatkan pengeluaran, pembekalan dan pemakanan makanan berzat bagi membolehkan semua orang mampu membeli makanan berzat.

Sebagai penutup, agensi itu turut mengesyorkan kerajaan berusaha mengurangkan lagi kekangan perdagangan bagi barangan makanan berkhasiat seperti buah-buahan dan sayuran. - AGENSI

Berita Harian X