Khamis, 7 Julai 2022 | 8:44am
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AGENSI
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AGENSI

Jawatankuasa kecemasan cacar monyet bersidang semula - WHO

GENEVA: Pakar penyakit cacar monyet di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan bersidang semula bagi memutuskan sama ada penularan wabak yang semakin memburuk itu dianggap sebagai kecemasan kesihatan awam global.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, akan mengadakan sidang kedua jawatankuasa kecemasan cacar monyet, susulan lebih 6,000 kes direkodkan di 58 negara.

"Saya kekal bimbang dengan skala dan penularan virus ini. Ujian saringan masih menjadi cabaran dan terdapat kemungkinan besar banyak kes yang tidak direkodkan," katanya pada sidang media di ibu pejabat WHO di Geneva.

Lonjakan jangkitan cacar monyet dikesan sejak awal Mei di luar negara Barat dan Afrika Tengah, di mana penyakit itu sudah menjadi endemik sejak sekian lama.

Pada 23 Jun lalu, jawatankuasa kecemasan pakar WHO bersidang buat kali pertama untuk memutuskan sama ada cacar monyet wajar dikategorikan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Keprihatinan Antarabangsa (PHEIC), iaitu iaitu tahap amaran tertinggi oleh WHO.

Namun, pada sidang berkenaan, majoriti pakar berpandangan keadaan semasa ketika itu belum melepasi nilai ambang ditetapkan.

Menurut Tedros, pasukannya mengikuti perkembangan data wabak itu, dan mahu mengadakan sidang jawatankuasa kecemasan kedua untuk memaklumkan data epidemiologi dan evolusi terkini penularan cacar monyet, serta langkah tindak balas.

"Kami akan bersidang sekitar 18 Julai ini atau lebih awal jika diperlukan, bergantung kepada perkembangan semasa ," katanya.

Sejak 2009, sebanyak enam PHEIC diisytiharkan dan yang terakhir membabitkan wabak COVID-19 pada 30 Januari 2020, selepas sidang jawatankuasa kecemasan ketiga.

Mengulas lanjut, Tedros memaklumkan penularan wabak cacar monyet berpusat di Eropah ketika ini, dengan merekodkan lebih 80 peratus daripada keseluruhan jangkitan itu di seluruh dunia tahun ini.

Di Afrika, katanya, kes cacar monyet di kesan di negara yang tidak pernah mencatatkan penularan wabak berkenaan sebelum ini, selain jumlah kes tertinggi direkodkan di lokasi yang pernah mencatatkan jangkitan.

Jelasnya, perancangan semasa WHO untuk mengekang penularan wabak itu adalah dengan memberi tumpuan pada meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk yang terkesan dan menggalakkan amalan yang selamat serta langkah perlindungan.

"WHO sedang bekerjasama dengan beberapa negara dan pengeluar vaksin untuk menyelaras perkongsian vaksin, yang amat sedikit ketika ini dan ia mestilah boleh diakses golongan berisiko," katanya. - AFP

Berita Harian X