Isnin, 4 Julai 2022 | 8:41am
Reaksi orang ramai di luar pusat beli-belah Field, selepas polis Denmark berkata mereka menerima laporan tembakan, di Copenhagen. - Foto REUTERS
Reaksi orang ramai di luar pusat beli-belah Field, selepas polis Denmark berkata mereka menerima laporan tembakan, di Copenhagen. - Foto REUTERS

3 terbunuh dalam kejadian tembakan di pusat beli-belah Copenhagen

COPENHAGEN: Tiga orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam kejadian tembakan di pusat beli-belah Copenhagen semalam, kata polis Denmark, sambil menambah mereka telah menahan seorang suspek, warga Denmark berusia 22 tahun.

Pemuda itu, yang menurut saksi bersenjatakan senapang ditangkap secara aman sejurus selepas polis tiba di pusat beli-belah Fields, yang terletak di antara pusat bandar dan lapangan terbang Copenhagen.

Imej dari tempat kejadian menunjukkan ibu bapa membawa anak-anak mereka melarikan diri dari bangunan dan kakitangan ambulans dilihat mengusung orang untuk dirawat.

Ambulans dan polis berada di luar pusat beli-belah Field selepas polis Denmark berkata mereka menerima laporan tembakan, di Copenhagen. - Foto REUTERS
Ambulans dan polis berada di luar pusat beli-belah Field selepas polis Denmark berkata mereka menerima laporan tembakan, di Copenhagen. - Foto REUTERS

"Kami mengesahkan tiga orang terkorban," kata ketua polis Copenhagen Soren Thomassen pada sidang akhbar petang semalam.

Beliau turut menyatakan terdapat juga beberapa yang cedera.

Thomassen menyifatkan suspek yang ditahan sebagai 'etnik Denmark' yang berusia 22 tahun namun masih terlalu awal untuk menentukan motif kejadian.

Kakitangan kecemasan tiba di pusat beli-belah Fields, selepas polis Denmark berkata mereka menerima laporan tembakan, di Copenhagen. - Foto REUTERS
Kakitangan kecemasan tiba di pusat beli-belah Fields, selepas polis Denmark berkata mereka menerima laporan tembakan, di Copenhagen. - Foto REUTERS

"Kami menyiasatnya sebagai satu perbuatan keganasan," katanya.

Katanya, setakat ini juga polis tidak mempunyai petunjuk bahawa lelaki itu bertindak bersama-sama dengan suspek lain dan polis sudah meningkatkan kehadiran di sekitar pusat beli-belah di seluruh Copenhagen.

Reaksi orang ramai di luar pusat beli-belah Field, selepas polis Denmark berkata mereka menerima laporan tembakan, di Copenhagen. - Foto REUTERS
Reaksi orang ramai di luar pusat beli-belah Field, selepas polis Denmark berkata mereka menerima laporan tembakan, di Copenhagen. - Foto REUTERS

Sementara itu, seorang saksi yang dilaporkan oleh media Denmark menyatakan bagaimana suspek cuba memperdaya orang ramai dengan mengatakan senjatanya itu adalah senjata palsu, malah meminta mereka mendekati.

"Dia seperti psikopat yang pergi memburu orang, tetapi dia tidak berlari," kata seorang saksi kepada televisyen negeri DR.

Saksi lain memberitahu, mereka melihat lebih 100 orang meluru ke arah pintu keluar pusat beli-belah itu ketika tembakan pertama dilepaskan.

"Kami dapat melihat ramai orang tiba-tiba berlari ke arah pintu keluar dan kemudian kami terdengar bunyi dentuman. Kami juga turut lari," kata Thea Schmidt, yang berada di pusat beli-belah itu ketika serangan berlaku.

Serangan itu berlaku dua hari selepas pertandingan berbasikal Tour de France tahun ini yang akan bermula dari Copenhagen dan penganjur turut mengeluarkan kenyataan menyatakan rasa simpati mereka.

"Seluruh karavan Tour de France menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka," katanya. - AFP

Berita Harian X