Jumaat, 1 Julai 2022 | 8:07pm
Mogok pekerja lapangan terbang menyebabkan pembatalan beberapa penerbangan di Paris. - Foto AGENSI
Mogok pekerja lapangan terbang menyebabkan pembatalan beberapa penerbangan di Paris. - Foto AGENSI

Pekerja lapangan terbang di Paris lancar mogok

PARIS: Pekerja di lapangan terbang utama di sini melancarkan mogok di Lapangan Terbang Roissy-Charles de Gaulle sehingga memaksa pembatalan kira-kira 10 peratus penerbangan dan menyebabkan lebih banyak perjalanan awal musim panas tergendala.

Puluhan kakitangan menjalankan protes di hadapan salah satu terminal untuk menuntut kenaikan gaji dalam jumlah besar bagi mengurangkan beban susulan inflasi yang tinggi.

Ia turut didorong oleh permintaan yang meningkat bagi perjalanan udara dan kekurangan kakitangan dengan sebahagiannya disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Pengendali lapangan terbang, ADP memberitahu Reuters, ia menjangkakan 100 penerbangan akan dibatalkan, 50 yang akan tiba manakala 50 lagi yang dijangka berlepas sepanjang hari itu.

Kelihatan orang ramai beratur panjang di dalam terminal kerana sesetengah penumpang berusaha membuat pengaturan perjalanan alternatif sementara ada pengguna lain tiba lebih awal kerana bimbang berlaku gangguan susulan protes berkenaan.

"Kami berada di sini sejak jam tiga pagi dan masih menunggu. Keadaan memang teruk," kata salah seorang penumpang, Philippine Tournier kepada Reuters.

Beliau telah menempah penerbangan ke Cancun, Mexico.

Peningkatan kos sara hidup membebankan isi rumah di seluruh Eropah.

Inflasi di Britain mencecah 9.1 peratus bulan lalu, angka tertinggi dalam tempoh empat dekad yang menyumbang kepada mogok dalam kalangan pekerja merentasi pelbagai sektor perkhidmatan termasuk pengangkutan, sekolah, pos dan hospital.

Ribuan kakitangan pusat panggilan dan kejuruteraan BT mengundi semalam untuk melakukan bantahan bagi menuntut gaji yang lebih baik.

Sementara itu, syarikat penerbangan Scandinavia SAS dan juruterbangnya dalam perbincangan terakhir hari ini untuk mengelakkan mogok mulai tengah malam yang akan melumpuhkan operasi syarikat penerbangan yang sedang berdepan pelbagai masalah. - REUTERS

Berita Harian X