Jumaat, 1 Julai 2022 | 9:28am
Ahli farmasi menunjukkan sekotak ubat COVID-19 oral, Paxlovid, yang dihasilkan Pfizer Inc. - Foto EPA
Ahli farmasi menunjukkan sekotak ubat COVID-19 oral, Paxlovid, yang dihasilkan Pfizer Inc. - Foto EPA

Pfizer Inc tunggu kelulusan penuh AS bagi jualan Paxlovid

GENEVA: Pfizer Inc sedang mendapatkan kelulusan penuh daripada Amerika Syarikat (AS) bagi rawatan antiviral COVID-19 secara oral, Paxlovid, yang kini tersedia di bawah kebenaran penggunaan kecemasan (EUA).

Pfizer berkata, mereka menyerahkan Permohonan Ubat Baharu bagi Paxlovid kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat AS untuk rawatan COVID-19 terhadap orang divaksinasi dan tidak divaksinasi yang berisiko tinggi untuk mengalami penyakit teruk.

Memetik anggaran daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, Pfizer berkata ia akan meliputi 50 peratus hingga 60 peratus daripada penduduk AS, secara asasnya konsisten dengan ubat semasa EUA.

Kelulusan penuh itu bermakna Pfizer akan mempunyai pilihan untuk menjual Paxlovid di pasaran terbuka seperti ubat-ubatan lain, bergantung sama ada kerajaan AS memutuskan untuk berhenti membeli ubat itu atau menyediakannya secara percuma di seluruh negara.

Pakar strategi penjagaan kesihatan di Morningstar, Karen Andersen, berkata, melalui kebenaran itu, syarikat juga mungkin mempunyai lebih kawalan ke atas pendidikan kepada orang ramai melalui iklan atau cara untuk meningkatkan penggunaan.

Dalam ujian klinikal Pfizer, rawatan dua ubat yang diambil selama lima hari bermula sejurus selepas permulaan simptom COVID-19, mampu mengurangkan risiko kemasukan ke hospital atau kematian sebanyak 88 peratus kepada pesakit dewasa yang tidak dimasukkan ke hospital dan berisiko tinggi.

Data daripada kajian di Israel awal bulan ini pula menunjukkan Paxlovid mengurangkan kemasukan ke hospital dan kadar kematian COVID-19 pada pesakit yang divaksinasi dan tidak divaksinasi berumur 65 tahun ke atas.

Bagaimanapun, ia didapati tidak dapat mencegah penyakit teruk di kalangan orang dewasa yang lebih muda.

Menurut data daripada Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia, lebih daripada 1.6 juta Paxlovid sudah digunakan di AS. - AFP

Berita Harian X