Selasa, 28 Jun 2022 | 9:27am
Pasukan bomba sedang berusaha untuk memadamkan api, menurut pegawai Ukraine. - Foto AGENSI
Pasukan bomba sedang berusaha untuk memadamkan api, menurut pegawai Ukraine. - Foto AGENSI

13 terbunuh Russia bedil peluru berpandu ke atas pusat beli-belah

KYIV: Peluru berpandu didakwa milik Russia dilancarkan ke arah pusat beli-belah yang sesak di Kremenchuk, sebuah bandar di tengah Ukraine mengakibatkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh semalam.

Perkara itu dimaklumkan gabenor wilayah dan kejadian itu mencetuskan kemarahan antarabangsa.

"Serangan Russia pada hari ini ke arah pusat beli-belah di Kremenchuk adalah salah satu tindakan pengganas paling kurang ajar dalam sejarah Eropah," kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam siaran petang semalam yang dimuatnaik menerusi aplikasi Telegram.

Menurut Gabenor wilayah Poltava, iaitu di mana terletaknya Kremenchuk, Dmytro Lunin, angka kematian meningkat daripada 10 sehingga sekurang-kurangnya 13 orang dan lebih 40 orang tercedera.

Terdahulu, Zelensky berkata, lebih 1,000 orang awam berada di pusat beli-belah itu ketika peluru berpandu mengenai bandar terbabit yang mempunyai populasi seramai 220,000 orang sebelum perang meletus.

"Pusat beli-belah itu terbakar, penyelamat bertungkus-lumus memadamkan api. Angka mangsa mustahil untuk dibayangkan," kata Zelensky menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook.

Video yang dikongsikan oleh Presiden Ukraine menunjukkan pusat beli-belah itu diselubungi nyalaan api dan puluhan penyelamat serta trak bomba berada di perkarangan.

Perkhidmatan kecemasan turut menyiarkan imej menunjukkan kesan bara yang terdapat dalam bangunan terbabit dan pasukan bomba serta penyelamat cuba untuk membersihkan serpihan.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Ukraine berkata, serangan itu sengaja dilakukan bertepatan dengan waktu paling sibuk di pusat beli-belah itu termasuk menyebabkan angka mangsa yang maksimum.

Tentera udara Ukraine berkata, pusat beli-belah itu diserang dengan peluru berpandu antikapal Kh-22 yang dilancarkan pengebom Tu-22, dari wilayah Kursk di barat Russia.

"Tembakan peluru berpandu di Kremenchuk mengenai kawasan yang sangat sibuk dan tidak mempunyai kaitan dengan permusuhan," kata Datuk Bandar, Vitali Maletsky menerusi Facebooknya.

Lunin mengecam serangan itu sebagai 'jenayah perang' dan 'jenayah terhadap kemanusiaan' serta mengatakan ia adalah 'tindakan keganasan sinis terhadap orang awam'.

Susulan itu, Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba pula menyeru sekutu Kyiv untuk membekalkan lebih banyak senjata berat dan mengenakan sekatan baharu ke atas Russia. - AFP

Berita Harian X