Jumaat, 10 Jun 2022 | 7:50am
 Foto yang dirakamkan pada 16 Mei 2020 menunjukkan seorang petugas kesihatan sedang isyarat ketika penduduk berbaris untuk ujian asid nukleik di Wuhan, bandar China yang paling teruk dilanda pandemik COVID-19 di wilayah Hubei, China. - Foto REUTERS
Foto yang dirakamkan pada 16 Mei 2020 menunjukkan seorang petugas kesihatan sedang isyarat ketika penduduk berbaris untuk ujian asid nukleik di Wuhan, bandar China yang paling teruk dilanda pandemik COVID-19 di wilayah Hubei, China. - Foto REUTERS

'Teori kebocoran makmal COVID-19 perlu lebih banyak penyelidikan'

GENEVA: Kumpulan saintis yang menasihati Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kaedah siasatan asal-usul COVID-19 menegaskan kajian lanjut diperlukan bagi menentukan kesahihan sama ada berlaku kebocoran virus dari makmal.

Dalam laporan awal pertamanya, Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Asal Usul Patogen Novel (SAGO) menegaskan bahawa ia tidak mempunyai penemuan konklusif mengenai asal-usul virus di sebalik pandemik global terburuk dalam abad ini.

Pasukan yang terdiri daripada 27 pakar ditubuhkan oleh WHO tahun lalu untuk menghasilkan rangka kerja global baharu untuk kajian mengenai patogen yang muncul dengan potensi mencetuskan epidemik atau pandemik.

Mereka ditugaskan untuk menyediakan penilaian bebas mengenai cara ke hadapan dalam penyiasatan mencabar mengenai asal-usul virus SARS CoV-2 yang menyebabkan penyakit COVID-19.

"Terdapat data penting yang belum tersedia untuk pemahaman lengkap mengenai bagaimana pandemik COVID-19 bermula," akui mereka dalam laporan yang menekankan pelbagai kajian lanjut diperlukan.

Pakar menilai pelbagai penyelidikan sedia ada, termasuk penemuan misi saintifik bersama WHO-China tahun lalu serta kajian yang diterbitkan dan tidak diterbitkan.

Mereka seolah-olah menyokong penemuan penting oleh misi bersama berkenaan bahawa virus itu kemungkinan besar menular dari kelawar ke manusia melalui haiwan perantaraan, yang dipanggil penularan zoonotik.

"Bukti paling kukuh masih di sekitar penularan zoonotik," kata Pengerusi SAGO, Marietjie Venter kepada pemberita, walaupun hos asal, hos pertengahan atau bagaimana virus itu menjangkiti manusia belum dikenal pasti.

Bagaimanapun, sementara misi bersama menganggap teori yang bersaing bahawa virus itu mungkin bocor disebabkan oleh insiden makmal adalah "sangat tidak mungkin" dan tidak mencadangkan siasatan lanjut ke atas hipotesis itu, pasukan SAGO menegaskan bahawa isu ini juga memerlukan kajian lanjut.

Di antara barisan panjang kajian yang diminta, pasukan itu menekankan bahawa "ia tetap penting untuk mempertimbangkan semua data saintifik munasabah yang tersedia sama ada melalui sumber yang diterbitkan atau lain-lain sumber rasmi untuk menilai kemungkinan pengenalan SARS-CoV-2 ke dalam populasi manusia melalui kejadian makmal."

Isu ini sangat kontroversi, dan SAGO mengakui tiga anggota pasukan dari China, Russia dan Brazil membantah untuk memasukkan cadangan itu.

Venter berkata adalah penting untuk bersikap terbuka kepada pelbagai hipotesis.

"Memilikinya dalam laporan itu tidak bermakna itu pasti apa yang kami fikirkan," katanya, menegaskan bahawa ia hanya bermaksud "kami terbuka kepada data saintifik... jadi jika ada apa-apa yang baharu muncul, kami tidak akan mengabaikan ia."

"Kita perlu berfikiran terbuka dan merangkumi semua hipotesis, termasuk yang itu," Pengerusi bersamanya Jean-Claude Manuguerra bersetuju, menegaskan bahawa setakat ini belum ada penyiasatan sebenar mengenai teori kebocoran makmal," katanya.

Antara lain, pakar berkata akses diperlukan kepada kakitangan dan data daripada makmal di China dan tempat lain yang ada kaitan dengan coronavirus, termasuk SARS-CoV-2, untuk menilai amalan biokeselamatan dan biosekuriti.

Ini boleh menjadi rumit, terutamanya dalam kes China, yang setakat ini menolak cadangan misi antarabangsa baharu ke negara itu.

Ketua WHO, Tedros Ahanom Ghebreyesus menegaskan adalah penting kerja saintifik untuk menentukan asal usul COVID-19 diasingkan daripada campur tangan politik.

Menerusi taklimat kepada negara anggota, beliau berkata agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan berusaha untuk mengikut nasihat SAGO dan menekankan bahawa "semua hipotesis mesti kekal di bentangkan sehingga kita mempunyai bukti yang membolehkan kita menolak hipotesis tertentu."

"Semakin lama, semakin sukar. Kami perlu mempercepatkan dan bertindak dengan rasa terdesak." - AFP

Berita Harian X