Rabu, 1 Jun 2022 | 9:28pm
Kajian mendapati pesakit COVID-19 yang dijangkiti buat kali kedua menghadapi risiko dua kali ganda mengalami darah beku pada bahagian paru-paru selain masalah pernafasan. - Foto AFP
Kajian mendapati pesakit COVID-19 yang dijangkiti buat kali kedua menghadapi risiko dua kali ganda mengalami darah beku pada bahagian paru-paru selain masalah pernafasan. - Foto AFP

Dianggarkan 2 juta hadapi 'long Covid' di UK

LONDON: Dianggarkan dua juta orang di United Kingdom (UK), yang mewakili tiga peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk, dilaporkan mengalami 'long COVID'.

Perkara itu berdasarkan statistik rasmi oleh Pejabat bagi Statistik Kebangsaan (ONS) yang menyatakan sekitar 1.4 juta daripada mereka mengalami COVID-19 atau disyaki mengalami virus itu sekurang-kurangnya 12 minggu sebelumnya.

Ia juga mendapati 826,000 daripada mereka mula-mula menghidap coronavirus sekurang-kurangnya setahun sebelumnya, manakala 376,000 memberitahu mereka pertama kali dijangkiti dua tahun sebelumnya.

Angka ONS adalah berdasarkan laporan langsung daripada orang ramai yang menghidap 'long Covid' berdasarkan sampel wakil isi rumah persendirian dalam tempoh empat minggu hingga 1 Mei lalu.

Keletihan adalah simptom paling biasa - dialami oleh 55 peratus daripada mereka yang melaporkan sendiri - diikuti oleh sesak nafas (32 peratus), batuk (23 peratus) dan sakit otot (23 peratus).

Peratusan terbesar ialah individu berumur 35 hingga 69 tahun, wanita, mereka yang tinggal di kawasan serba kekurangan dan bekerja dalam profesion tertentu seperti penjagaan sosial, tenaga pengajar dan pendidikan atau penjagaan kesihatan, menurut ONS.

Individu dengan keadaan kesihatan lain yang mengehadkan aktiviti atau hilang upaya juga lebih lazim dalam kalangan penghidap 'long Covid'.

UK adalah salah satu negara yang paling teruk terjejas oleh wabak itu dan sudah melonggarkan semua sekatan tahun ini, memandangkan kes dan kemasukan ke hospital berkurangan manakala kadar vaksinasi agak tinggi.

Negara dengan kira-kira 67 juta penduduk itu merekodkan hampir 18.8 juta kes dan sekitar 178,000 kematian akibat virus berkenaan, sejak ia melanda lebih dua tahun lalu.

Penilaian ONS mendapati, hampir 35 peratus daripada dua juta orang melaporkan gejala jangka panjang pernah dijangkiti COVID-19 atau mengesyaki mereka dijangkiti ketika gelombang Omicron melanda lewat tahun lalu.

Angka itu berdasarkan satu lagi kajian UK diterbitkan April lalu, yang menunjukkan hanya kira-kira 25 peratus pesakit pulih sepenuhnya daripada COVID-19, setahun selepas dimasukkan ke hospital.

Penyelidikan oleh Institut Penyelidikan Kesihatan dan Penjagaan Kebangsaan yang membabitkan lebih daripada 2,300 orang, turut mendapati wanita mempunyai 33 peratus kurang berkemungkinan untuk pulih sepenuhnya berbanding lelaki. - AFP

Berita Harian X