Ahad, 22 Mei 2022 | 7:06pm
Pengarah serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Hans Kluge. - Foto REUTERS
Pengarah serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Hans Kluge. - Foto REUTERS

WHO bimbang pesta liar musim panas cepatkan penularan cacar monyet

PARIS: Seorang pegawai kanan kesihatan Eropah memberi amaran kes cacar monyet yang jarang berlaku di sini akan meningkat dalam tempoh beberapa bulan mendatang selepas virus itu dikesan merebak ke seluruh Eropah.

Pengarah serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Hans Kluge, berkata, beliau bimbang penularan akan meningkat ketika orang ramai berhimpun dan berpesta bagi menyambut ketibaan musim panas.

Virus yang menyebabkan bintik radang yang serius tetapi jarang menyebabkan kematian, sebelum ini hanya dikesan di tengah dan barat Benua Afrika.

"Bagaimanapun, sejak beberapa minggu lalu, kes cacar monyet dikesan di tidak kurang 12 negara Eropah termasuk Britain, Portugal dan Sweden selain Amerika Syarikat, Kanada serta Australia.

"Semua mangsa kes berkenaan kecuali satu, tidak membabitkan sejarah perjalanan ke kawasan yang mempunyai penyakit cacar monyet.

"Jangkitan dijangka meningkat kerana kes dikesan sekarang merangkumi mereka yang terbabit dalam aktiviti seksual dan ramai tidak mengenali gejala cacar monyet.

"Kebanyakan kes awal penyakit ini adalah dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan sejenis dan ramai sudah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan, menunjukkan penularan penyakit sudah berlaku untuk satu tempoh masa," katanya.

WHO menyatakan pihaknya sedang menyiasat fakta bahawa banyak kes cacar monyet membabitkan golongan gay dan biseksual.

Kenyataan Kluge itu disiarkan selepas Perancis, Belgium dan Jerman melaporkan kes pertama cacar monyet, manakala Itali kini mengesahkan terdapat tiga kes penyakit berkenaan.

Tiga kes cacar monyet yang disahkan di Belgium kelmarin dikaitkan dengan pesta seks bebas di bandar pelabuhan Antwerp, berdasarkan rekod perjalanan mangsa.

Pihak berkuasa Perancis pula menyatakan bahawa virus itu dikesan menjangkiti seorang lelaki yang tinggal di kawasan Paris.

Di Sepanyol, pihak berkuasa kesihatannya melaporkan tujuh kes disahkan cacar monyet dan sedang menunggu pengesahan 23 kes lain dan negara jiran, Portugal, mengesahkan 23 jangkitan virus itu.

Di Britain, beberapa pegawai kesihatan melaporkan 11 lagi kes disahkan cacar monyet di England, menjadikan angka jangkitan keseluruhan meningkat kepada 20 kes.

Ketua penasihat kesihatan Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA), Susan Hopkins, berkata beliau menjangkakan kes akan meningkat dalam masa beberapa hari akan datang dalam kalangan masyarakat.

Beliau juga menggesa lelaki gay dan biseksual memantau simptom cacar monyet kerana kebanyakan jangkitan di Britain dan Eropah berpunca dalam kalangan golongan berkenaan.

"Cacar monyet sebelum ini tidak pernah dianggap sebagai penyakit kelamin yang berjangkit," kata UKHSA.

Cacar monyet merebak melalui sentuhan dengan luka atau calar dan titisan cecair tubuh individu yang dijangkiti, di samping perkongsian barangan seperti tuala atau cadar.

Simptom penyakit itu termasuk demam, sakit otot, bengkak kelenjar, menggigil, letih dan ruam seperti bintik cacar pada tangan serta muka.

Menurut WHO pula, penyakit cacar monyet biasanya sembuh dalam masa antara dua hingga empat minggu dengan hanya kes tertentu boleh membawa maut. – AFP

Berita Harian X