Ahad, 8 Mei 2022 | 7:47pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Vaksin COVID-19 berasaskan tumbuhan beri perlindungan 70 peratus

OTTAWA: Sekumpulan saintis Kanada menemui penghasilan sejenis vaksin COVID-19 berasaskan tumbuhan yang berkesan memberi perlindungan 70 peratus daripada lima jenis varian coronavirus.

Portal media India Today melaporkan, hasil keberkesanan itu diperoleh daripada keputusan ujian klinikal terhadap manusia bagi menguji pencegahan penyebaran virus berkenaan.

Vaksin yang dibangunkan penyelidik syarikat bioteknologi Kanada Medicago itu mengandungi zarah seperti coronavirus (CoVLP) yang dihasilkan dalam tumbuhan, yang digabungkan dengan pemangkin ASO3 yang membantu vaksin berfungsi dengan lebih baik.

Percubaan fasa tiga vaksin itu dijalankan di 85 pusat membabitkan 24,141 orang dewasa dipilih secara rawak, yang menerima dua suntikan sama ada vaksin CoVLP+AS03 atau plasebo dengan sela masa 21 hari.

Penyelidik mengesahkan kehadiran virus COVID-19 melalui ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) dalam 165 peserta.

Kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine (NEJM), menunjukkan bahawa keberkesanan vaksin adalah 69.5 peratus terhadap sebarang gejala COVID-19 yang disebabkan oleh lima varian.

Dalam analisis statistik, keberkesanan vaksin adalah 78.8 dan 74.0 peratus terhadap penyakit sederhana hingga teruk dan antara mereka yang negatif pada permulaan jangkitan.

"Vaksin CoVLP+AS03 berkesan dalam mencegah COVID-19 yang disebabkan oleh spektrum variasi dengan keberkesanan antara 69.5 peratus terhadap jangkitan simptomatik hingga 78.8 peratus terhadap penyakit sederhana hingga teruk.

"Kesan potensi teknologi berasaskan tumbuhan ini dalam wabak semasa akan sangat dipengaruhi oleh evolusi wabak itu sendiri.

"Bagaimanapun, ketersediaan dan pembangunan lanjut bidang ini ini mempunyai kesan penting untuk kita bersedia menghadapi wabak akan datang," kata penulis kajian itu. - AGENSI

Berita Harian X