Ahad, 8 Mei 2022 | 11:23am
Antara foto Ratu Elizabeth II ketika masih muda yang tidak pernah dilihat sebelum ini. - Foto birminghammail.co.uk
Antara foto Ratu Elizabeth II ketika masih muda yang tidak pernah dilihat sebelum ini. - Foto birminghammail.co.uk

Dokumentari papar foto 'eksklusif' Ratu Elizabeth II bakal ditayang

LONDON: Sebuah dokumentari mengenai Ratu Elizabeth II bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Antara babak menarik termasuk foto Ratu Elizabeth memakai cincin pertunangan beberapa bulan sebelum pertunangannya kepada Putera Philip diumumkan secara rasmi.

Dokumentari itu turut merakamkan lawatan lanjutan pertama Putera Philip ke Balmoral pada tahun 1946 antara detik yang jarang dipaparkan sebelum ini.

Agensi berita BBC diberi akses kepada ratusan foto peribadi yang diambil sendiri Ratu Elizabeth II, termasuk foto yang memaparkan kedua ibu bapanya serta suaminya, Duke of Edinburgh.

Dokumentari berkenaan akan disiarkan sempena sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth II.

Semua koleksi foto serta video sebelum ini disimpan dalam Koleksi Diraja di Institut Filem Britain.

Video lain yang akan ditayangkan dalam dokumentari itu juga menunjukkan Ratu Elizabeth ditolak dalam kereta bayi oleh ibunya untuk pertabalannya pada 1953.

Dokumentari 75 minit bertajuk Elizabeth: The Unseen Queen akan ditayangkan di saluran BBC One and BBC iPlayer 29 Mei ini.

Editor BBC yang pakar dalam sejarah monarki British, Simon Young, berkata: "Kami berbesar hati bahawa Ratu mengamanahkan BBC dengan akses yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada koleksi filem peribadinya.

"Dokumentari ini adalah gambaran yang luar biasa tentang sisi peribadi keluarga diraja yang jarang berlaku, dan ia sangat menggembirakan kerana dapat berkongsi dengan negara semasa kita meraikan sambutan Jubli Platinum," katanya.

Ratu Elizabeth adalah seorang puteri muda ketika kali pertama bertemu kadet tentera laut, Putera Philip dari Greece pada 1939, semasa lawatan ke Kolej Tentera Laut Diraja di Dartmouth tempat beliau belajar.

Putera Philip, yang baru berusia 18 tahun, diperkenalkan kepada Elizabeth yang berusia 13 tahun di rumah kapten kolej itu.

Pasangan itu mula menulis antara satu sama lain dan Putera Philip dijemput untuk menghabiskan Krismas 1943 bersama keluarga diraja di Windsor.

Pasangan itu berkahwin pada November 1947 dan berkahwin selama 73 tahun sebelum Duke of Edinburgh meninggal pada April lalu, hanya beberapa bulan sebelum hari jadinya yang ke-100. - AGENSI

Berita Harian X