Jumaat, 6 Mei 2022 | 9:55am
 Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy muncul di skrin memberi ucapan kepada pengunjung City Hall Square di Copenhagen, Denmark. - Foto REUTERS
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy muncul di skrin memberi ucapan kepada pengunjung City Hall Square di Copenhagen, Denmark. - Foto REUTERS

Russia musnahkan ratusan hospital di Ukraine - Zelenskiy

KYIV: Pencerobohan Russia ke atas Ukraine memusnahkan ratusan hospital dan institusi lain selain meninggalkan doktor tanpa ubat untuk menangani kanser atau keupayaan melakukan pembedahan, kata Presiden Volodymyr Zelenskiy pada Khamis.

Zelenskiy dalam ucapan video kepada kumpulan amal perubatan, berkata banyak tempat di timur dan selatan Ukraine yang menjadi titik tumpuan pertempuran kekurangan ubat termasuk antibiotik.

"Jika anda menganggap hanya infrastruktur perubatan, setakat hari ini tentera Russia telah memusnahkan atau merosakkan hampir 400 institusi penjagaan kesihatan: hospital, wad bersalin, klinik pesakit luar," katanya.

Di kawasan yang diduduki tentera Russia, katanya, keadaan adalah malapetaka.

"Kami kekurangan ubat untuk pesakit kanser. Ini bermakna kesukaran yang melampau atau kekurangan insulin sepenuhnya untuk diabetes. Mustahil untuk menjalankan pembedahan. Ini bermakna, secara ringkasnya, kekurangan antibiotik."

Kremlin berkata ia hanya menyasarkan tapak tentera atau strategik.

Antara tindakan perang yang paling banyak dikecam apabila sebuah hospital bersalin musnah pada 9 Mac di bandar Mariupol.

Russia mendakwa gambar serangan itu dirancang dan berkata tapak itu digunakan oleh kumpulan bersenjata Ukraine. - REUTERS

Berita Harian X