Rabu, 4 Mei 2022 | 3:45pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Kanada tingkatkan eksport gandum atasi kekurangan global

OTTAWA: Kerajaan Kanada mengumumkan satu pelaburan bagi menyokong penambahan eksport gandum, ketika permintaan produk gandum Kanada meningkat di pasaran global.

Menteri Pertanian dan Agro Makanan Kanada, Marie-Claude Bibeau, berkata pelaburan itu selaras kepentingan penghasilan gandum negara itu yang disifatkan sebagai perkara penting dalam keselamatan makanan global.

"Pelaburan hari ini akan membantu pertubuhan dalam industri ini untuk menjalin hubungan baharu di pasaran antarabangsa, sekali gus kita boleh terus membekalkannya kepada penduduk global," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut kenyataan sama, kerajaan Kanada memperuntukkan hampir AS$3.5 juta (RM15.2 juta) untuk menyokong sektor itu dengan membantu tiga pertubuhan meneroka peluang baharu untuk produk gandum Kanada.

Ia termasuk Cereals Canada Inc, Majlis Gandum Kanada dan Persatuan Penanam Oat Prairie.

Pada masa sama, Menteri Pertanian Kanada peringkat persekutuan, wilayah dan daerah bertemu Isnin lalu untuk membincangkan kebimbangan terhadap bekalan makanan global, keselamatan makanan dan bekalan utama, termasuk baja.

Berdasarkan catatan mesyuarat itu, perbincangan menjurus ke arah kaedah memaksimumkan sumbangan Kanada dalam bekalan makanan global dan bersetuju bekerjasama untuk menstabilkan rantaian bekalan.

Industri gandum Kanada menjana jumlah tertinggi direkodkan dengan AS$25.8 bilion (RM112.3 bilion) dalam penerimaan tunai di ladang tahun lalu, dengan eksport turut mencatat nilai tertinggi apabila merekodkan lebih AS$19.6 bilion (RM85.3 bilion). - AGENSI

Berita Harian X