Khamis, 21 April 2022 | 10:43am

COVID-19: Dijangkiti virus dua kali dalam tempoh 20 hari

TARRAGONA: Seorang pekerja kesihatan berusia 31 tahun dijangkiti virus COVID-19 sebanyak dua kali dalam tempoh 20 hari, iaitu jurang paling singkat yang diketahui antara jangkitan, dakwa penyelidik Sepanyol.

Ujian menunjukkan wanita berkenaan dijangkiti dengan dua varian berbeza iaitu Delta pada akhir Disember dan kemudiannya Omicron pada Januari.

Ia menunjukkan bahawa walaupun seseorang individu pernah menghidap COVID-19 sebelum ini, mereka masih boleh dijangkiti lagi walaupun sudah divaksin sepenuhnya, kata penyelidik.

Jangkitan semula di United Kingdom memerlukan tempoh 90 hari selepas ujian positif.

Berdasarkan definisi itu, pegawai kesihatan mengatakan hampir 900,000 orang berpotensi dijangkiti virus berkenaan sebanyak dua kali sehingga awal April.

Sukar untuk menentukan angka yang tepat kerana hanya penjujukan genom keseluruhan boleh mengesahkan jangkitan disebabkan oleh strain yang berbeza dan sangat sedikit ujian positif yang melalui proses itu.

Wanita berkenaan tidak mengalami sebarang gejala selepas ujian Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) pertama positif, tetapi kurang daripada tiga minggu kemudian beliau mengalami batuk dan demam yang mendorongnya untuk melakukan ujian lain.

Apabila ujian dianalisis lebih lanjut, ia menunjukkan pesakit dijangkiti oleh dua jenis coronavirus yang berbeza.

Dalam pembentangan di Kongres Mikrobiologi Klinikal dan Penyakit Berjangkit Eropah, penyelidik, Dr Gemma Recio berkata kes itu menekankan bahawa Omicron boleh 'mengelak imuniti sebelumnya yang diperoleh sama ada daripada jangkitan semula jadi dengan varian lain atau daripada vaksin'.

"Dengan kata lain, orang yang menghidap COVID-19 tidak boleh menganggap mereka dilindungi daripada jangkitan semula walaupun mereka sudah diberi vaksin sepenuhnya.

"Walau bagaimanapun, kedua-dua jangkitan sebelumnya dengan varian lain dan vaksinasi nampaknya melindungi sebahagian daripada penyakit teruk dan kemasukan ke hospital bagi mereka yang menghidap Omicron," kata penyelidik dari Institut Catala de Salut, Terragona, Sepanyol itu. - AGENSI

Berita Harian X