Selasa, 22 March 2022 | 12:53pm
Gambar satelit yang diedarkan oleh Maxar Technologies menunjukkan bangunan yang musnah dan terbakar di sekitar Irpin di Kyiv, Ukraine. - Foto EPA
Gambar satelit yang diedarkan oleh Maxar Technologies menunjukkan bangunan yang musnah dan terbakar di sekitar Irpin di Kyiv, Ukraine. - Foto EPA

Zelensky tolak menyerah, mahu berbincang dengan Putin

KYIV: Pemimpin Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata negaranya akan musnah sebelum ditakluk sepenuhnya oleh Russia ketika beliau berusaha untuk berunding dengan Presidennya, Vladimir Putin, bagi menamatkan perang.

Di sebalik jumlah orang awam yang cedera meningkat, Zelensky menjelaskan bahawa rakyatnya tidak akan menyerahkan ibu negara, bandar timur Kharkiv atau Mariupol.

"Ukraine tidak boleh memenuhi kata dua Russia, kita harus dimusnahkan dulu kalau mereka mahu ambil tanah kami," katanya.

Ketika Russia mempertahankan serangan semalaman hingga pusat beli-belah Kyiv runtuh dan membunuh lapan mangsa, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mendesak pemimpin Eropah menangani 'taktik kejam' yang semakin kerap digunakan Moscow.

Seorang pegawai kanan pertahanan AS berkata, hampir sebulan selepas Russia melancarkan pencerobohan berskala penuh pada 24 Februari, Moscow terus meningkatkan operasi udara dan lautnya, menerbangkan 300 pesawat dalam tempoh 24 jam lalu, dalam usaha 'terdesak' untuk mengubah arus perang di Ukraine.

Di Kyiv, perintah berkurung 35 jam diarahkan mulai 8.00 malam (1800 GMT) semalam, selepas serangan peluru berpandu Russia memusnahkan kompleks beli-belah 'Retroville' hingga meragut enam nyawa.

Russia mendakwa pusat beli-belah itu digunakan untuk menyimpan sistem roket serta peluru dan tentera Putin terus dituduh sengaja menyasarkan orang awam, termasuk di Mariupol.

Hampir 350,000 orang terperangkap tanpa air dan elektrik di pelabuhan selatan yang diserang tanpa henti oleh Russia manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan 925 kematian orang awam, termasuk 75 kanak-kanak.

Pegawai Mariupol menganggarkan kematian melepasi 2,000 orang dan Russia memberikan masa sehingga 5 pagi semalam untuk Mariupol menyerah, yang sudah pun ditolak oleh Kyiv. - AFP

Berita Harian X