Selasa, 8 March 2022 | 3:06pm
Seorang jururawat memberi rawatan kepada pesakit COVID-19 di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Universiti Milton Keynes di Britain. - Foto REUTERS
Seorang jururawat memberi rawatan kepada pesakit COVID-19 di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Universiti Milton Keynes di Britain. - Foto REUTERS

COVID-19 boleh sebabkan otak mengecut, hilang ingatan

LONDON: Kajian Universiti Oxford mendapati COVID-19 boleh menyebabkan otak mengecut, mengurangkan bahan kelabu di kawasan yang mengawal emosi dan ingatan selain merosakkan kawasan mengawal deria bau.

Saintis berkata, kesan itu juga dilihat pada mereka yang tidak dimasukkan ke hospital dan sama ada kesannya boleh diterbalikkan sebahagiannya atau sekiranya ia hilang sama sekali untuk jangka panjang memerlukan siasatan lanjut.

"Terdapat bukti kukuh untuk keabnormalan berkaitan otak dalam COVID-19," kata penyelidik dalam kajian mereka, yang dikeluarkan semalam.

Walaupun dalam kes ringan, peserta dalam penyelidikan itu menunjukkan fungsi yang semakin teruk untuk memberi tumpuan dan mengatur, berikutan purata saiz otak mengecil antara 0.2 dan dua peratus.

Kajian semakan rakan sebaya, yang diterbitkan dalam jurnal Nature, menyiasat perubahan otak dalam 785 peserta berumur 51 hingga 81 tahun yang otak mereka diimbas dua kali.

Ini termasuk 401 orang yang dijangkiti COVID-19 selepas dua imbasan, dengan imbasan kedua dilakukan secara purata 141 hari selepas imbasan pertama.

Kajian itu dijalankan apabila coronavirus varian Alpha dominan di Britain dan tidak mungkin terpakai bagi sesiapa yang dijangkiti varian Delta.

Kajian mendapati sesetengah orang yang menghidap COVID-19 mengalami 'kabus otak' atau 'mendung mental' yang gejalanya termasuk gangguan perhatian, tumpuan, kelajuan pemprosesan maklumat dan ingatan.

Penyelidik tidak menyatakan sama ada vaksinasi COVID-19 mempunyai kesan terhadap perubahan pada otak.

Bagaimanapun, bulan lalu Agensi Keselamatan Kesihatan UK berkata 15 kajian mendapati bahawa separuh daripada mereka yang divaksinasi berkemungkinan mengalami gejala 'long COVID-19' berbanding yang tidak divaksinasi. - REUTERS

Berita Harian X