Khamis, 3 March 2022 | 10:21am
Bangunan kediaman di Borodyanka, berhampiran Kyiv terbakar selepas dibedil tentera Russia. - Foto EPA
Bangunan kediaman di Borodyanka, berhampiran Kyiv terbakar selepas dibedil tentera Russia. - Foto EPA

ICC mulakan siasatan aktif jenayah perang di Ukraine

THE HAGUE: Siasatan kemungkinan berlaku jenayah perang di Ukraine akan dilakukan serta-merta selepas menerima sokongan 39 negara, kata Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan.

Sokongan itu termasuk dari semua negara anggota Kesatuan Eropah (EU), Australia, Britain, Kanada, New Zealand, Switzerland serta beberapa negara Amerika Latin.

"Saya sudah memaklumkan Presiden ICC mengenai keputusan untuk meneruskan siasatan berhubung situasi di Ukraine.

"Tugas kami untuk mengumpul bukti berkaitan sudah bermula," katanya dalam kenyataan.

Khan sebelum ini mengumumkan beliau membuka siasatan kemungkinan berlaku jenayah perang susulan pencerobohan Russian ke atas Ukraine.

Beliau percaya wujud asas munasabah dalam bidang kuasa mahkamah bahawa terdapat unsur jenayah dilakukan namun perlu mendapatkan kelulusan hakim sebelum meneruskannya.

Bagaimanapun, dengan rujukan terhadap negara anggota ICC, Khan kini boleh meneruskan siasatannya tanpa kelulusan hakim.

"Rujukan ini membolehkan pejabat saya membuka siasatan terhadap situasi di Ukraine bermula 21 November 2013 dan seterusnya.

"Ini termasuk sebarang dakwaan yang berlaku masa lalu dan terkini mengenai jenayah perang terhadap kemanusiaan atau pembunuhan beramai-ramai di mana-mana bahagian Ukraine," katanya.

Mengulas lanjut, Khan berkata, siasatannya akan dijalankan secara objektif, bebas serta memberi tumpuan memastikan kebertanggungjawaban jenayah yang termasuk dalam bidang kuasa ICC.

Dalam pada itu, Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson, memaklumkan kepada Parlimen bahawa Presiden Russia, Vladimir Putin, bersalah atas kesalahan jenayah perang selepas mengebom orang awam di Ukraine. - AFP

Berita Harian X