Khamis, 24 Februari 2022 | 12:59pm

Russia lancar perang ke seluruh Ukraine

KYIV: Russia melancarkan perang berskala penuh terhadap Ukraine dengan menyasarkan bandar-bandar utama dalam serangan awal bermula lewat pagi tadi.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, menerusi ciapan Twitter berkata, perang Presiden Russia, Vladimir Putin, sudah bermula dan meminta bantuan dunia bagi menghentikannya.

Interfax Ukraine melaporkan, serangan roket dilancarkan terhadap semua pangkalan tentera di seluruh negara itu dan tentera Russia sudah mendarat di bandar pelabuhan

Odessa dan Mariupol di selatan.

Wartawan AFP turut mengesahkan mendengar letupan di Odessa dan Mariupol, disusuli bunyi siren polis dan ambulans merentasi pusat bandar Ukraine.

Letupan turut dilaporkan di Kharkiv, sebuah bandar besar kira-kira 35 kilometer (km) ke selatan sempadan Russia.

Selain itu, empat letupan kuat dilaporkan di Kramatorsk, bandar pesisir pantai yang juga pusat pentadbiran kerajaan Ukraine di zon perang timur.

Kuleba berkata, Ukraine juga bertindak menutup ruang udaranya kepada pesawat awam berikutan pengisytiharan perang itu.

"Putin sudah melancarkan serangan penuh bagi menawan Ukraine dengan bandar-bandar utama dihujani serangan.

"Ini adalah perang menentang kekerasan, Ukraine akan mempertahankan diri dan akan menang. Dunia boleh dan mesti menghentikan Putin. Sudah tiba masanya untuk bertindak," katanya. - AGENSI

Kenderaan tentera Russia dilihat memasuki Donetsk di wilayah timur Ukraine yang dikuasai puak pemisah pro Russia. - Foto REUTERS
Kenderaan tentera Russia dilihat memasuki Donetsk di wilayah timur Ukraine yang dikuasai puak pemisah pro Russia. - Foto REUTERS
Berita Harian X