Rabu, 23 Februari 2022 | 10:27am
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Sub varian Omicron BA.2 lebih cepat berjangkit berbanding BA.1 - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sub varian BA.2 Omicron memberi kesan jangkitan yang sama dengan varial asal, BA.1.

Pegawai kanan WHO, Maria Van Kerkhove, berkata dapatan itu adalah berdasarkan sampel COVID-19 yang diperoleh dari pelbagai negara.

"Tiada perbezaan kesan jangkitan BA.1 berbanding BA.2. bagi sub varian Omicrin ini tetapi BA.2 didapati lebih cepat merebak.

"Kesan jangkitannya pula adalah sama kerana ia berkaitan dengan risiko kemasukan ke hospital. Ini sangat penting kerana BA.1 dan BA.2 tersebar sama banyak di kebanyakan negara," katanya.

Beliau yang mengetuai bahagian teknikal pasukan maklum balas COVID-19 WHO berkata demikian ketika melaporkan hasil penemuan jawatankuasa pakar mengenai evolusi coronavirus berkenaan.

Kesimpulan ditemui mereka memberi kelegaan kepada negara seperti Denmark yang terkesan dengan penularan sub varian BA.2 Omicron.

WHO menerusi kenyataan sama, memaklumkan pihaknya sedang menjalankan kajian lanjut selepas data awal mendapati sub varian BA.2 lebih mudah menular berbanding BA.1.

"Bagaimanapun, jumlah jangkitan membabitkan semua jenis varian dilaporkan semakin berkurangan," katanya.

Pada peringkat global, COVID-19 setakat ini sudah menjangkiti 427,885,338 mangsa termasuk meragut 5,923,006 nyawa di 224 negara serta wilayah di serata dunia. - AFP

Berita Harian X