Khamis, 17 Februari 2022 | 9:19am
Unit pengeluaran vaksin mudah alih, ‘BioNtainers’ bagi menghasilkan vaksin berasaskan mRNA yang dibina syarikat Jerman, BioNTech, di kilang syarikat itu di Marburg, Jerman. - Foto REUTERS
Unit pengeluaran vaksin mudah alih, ‘BioNtainers’ bagi menghasilkan vaksin berasaskan mRNA yang dibina syarikat Jerman, BioNTech, di kilang syarikat itu di Marburg, Jerman. - Foto REUTERS

BioNTech hantar makmal vaksin COVID-19 mudah alih ke Afrika

MARBURG: BioNTech Jerman, yang bersama Pfizer membangunkan vaksin mRNA pertama COVID-19, bercadang menghantar unit pengeluaran vaksin mudah alih ke Afrika.

Ketua Eksekutif dan pengasas bersama BioNTech, Ugur Sahin, berkata persoalannya kini adalah sama ada ia boleh dibuat cukup padat bagi diisi dalam sebuah kontena.

Beliau berkata demikian kepada AFP ketika majlis pelancaran makmal mudah alih yang dinamakan 'BioNTainers' itu.

BioNTech berkata penghantaran itu bertujuan mewujudkan kemudahan pembuatan pertama di Kesatuan Afrika pada pertengahan 2022 dan menjangka menghantar unit pengeluaran modular ke Rwanda atau Senegal.

Presiden Rwanda, Paul Kagame dan rakan sejawatannya dari Senegal, Macky Sall, menghadiri mesyuarat Ekuiti Vaksin untuk Afrika di tapak pengeluaran mRNA BioNTech di Marburg, Jerman.

Menyertai mereka ialah Presiden Ghana, Nana Akufo-Addo dan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Kagame berkata sistem modular membuka perspektif baharu untuk ekuiti vaksin global.

Tedros berkata, usaha meningkatkan pengeluaran tempatan adalah penting terutama ketika lebih 100 negara di seluruh dunia gagal mencapai kadar vaksinasi 70 peratus yang disasarkan WHO pada pertengahan tahun ini.

Afrika ialah benua yang paling kurang divaksinasi di dunia, di mana lebih dua tahun selepas permulaan wabak dan lebih setahun selepas pelancaran vaksin coronavirus pertama, kurang 12 peratus rakyat Afrika diberi vaksin sepenuhnya.

Awal bulan ini, syarikat bioteknologi Afrika Selatan, Biologics, mengumumkan penghasilan vaksin coronavirus pertama di benua itu berdasarkan teknologi mRNA.

Ia menggunakan kod genetik yang disediakan oleh pembuat vaksin mRNA lain, Moderna, untuk umum.

Sahin berkata, BioNTech, yang membangunkan vaksinnya dengan gergasi farmasi AS Pfizer, menjual berpuluh juta dos dan menyasarkan untuk memasang tapak pengeluaran bagi teknologi mRNA mereka di setiap benua.

"Afrika Selatan berpotensi menyertai senarai penerima makmal mudah alih," kata BioNTech.

Sebanyak 12 unit makmal yang secara keseluruhannya terdiri daripada dua modul, satu untuk pengeluaran mRNA dan satu lagi untuk serum vaksin, yang kemudian dilengkapkan oleh rakan kongsi tempatan dengan mengambil alih pengisian bebuli.

Makmal mudah alih itu itu juga boleh digunakan untuk menghasilkan vaksin terhadap malaria berdasarkan teknologi mRNA, sekiranya ia dibenarkan selepas ujian klinikal dijangka bermula tahun ini.

Teknologi vaksin akan dikongsi tanpa sekatan paten, sebagaimana yang diminta oleh beberapa negara dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). - AFP

Berita Harian X