Isnin, 7 Februari 2022 | 3:23pm
Helikopter polis dan pasukan kecemasan bekerja di tapak runtuhan salji di perbandaran Spiss, Austria. - Foto EPA
Helikopter polis dan pasukan kecemasan bekerja di tapak runtuhan salji di perbandaran Spiss, Austria. - Foto EPA

Runtuhan salji di Austria korbankan 9 mangsa

VIENNA: Pihak berkuasa Austria semalam mengesahkan sembilan individu maut dalam tiga hari, selepas lebih 100 runtuhan salji berlaku di negara itu.

Kebanyakan runtuhan salji berlaku di wilayah barat Tyrol dan Jumaat saja menyaksikan lima kematian, kata perkhidmatan penyelamat.

Polis memaklumkan satu insiden meragut nyawa sekumpulan pemain ski Sweden di zon sekitar Ischgl, berhampiran sempadan Switzerland.

Pada hari Jumaat juga, seorang lelaki berusia 60 tahun dan isterinya berusia 61 tahun maut selepas terkambus dengan runtuhan salji ketika bermain ski merentas desa berhampiran perkampungan Auffach, kata polis Tyrol.

Keesokan harinya iaitu Sabtu, seorang warga Austria berusia 58 tahun terbunuh di Schirmn dekat Innsbruck dalam runtuhan salji yang mencederakan empat individu lain.

Lebih jauh ke barat, seorang pemain ski berpengalaman terbunuh di wilayah Vorarlberg yang popular ketika Austria menyaksikan salji luar biasa.

Pihak berkuasa wilayah Tyrol Ahad, memaklumkan situasi itu belum pernah berlaku sebelum ini dan memberi amaran lebih banyak kejadian akan berlaku. - AGENSI

Berita Harian X