Selasa, 1 Februari 2022 | 7:37am
Subvarian BA.2 bagi varian Omicron COVID-19 yang kini dominan di Denmark dilihat lebih menular, berbanding BA.2. - Foto AFP
Subvarian BA.2 bagi varian Omicron COVID-19 yang kini dominan di Denmark dilihat lebih menular, berbanding BA.2. - Foto AFP

Subvarian Omicron BA.2 lebih berjangkit berbanding yang 'asal' - Kajian

COPENHAGEN: Subvarian BA.2 bagi varian Omicron COVID-19 yang kini dominan di Denmark dilihat lebih menular, berbanding BA.2.

Subvarian itu juga didapati lebih berupaya menjangkiti individu yang sudah divaksinasi, menurut kajian yang dilakukan pakar Denmark.

Analisis kajian dilakukan kepada lebih 8,500 isi rumah warga Denmark antara Disember dan Januari mendapati, mereka yang dijangkiti subvarian BA.2 dengan kira-kira lebih 33 peratus berkemungkinan menjangkiti yang lain, berbanding subvarian BA.1.

BA.1 kini menyumbang 98 peratus daripada keseluruhan kes Omicron di dunia, tetapi BA.2 menjadi jujukan lebih dominan di Denmark, mengatasi BA.2 pada minggu kedua Januari.

"Kami berpendapat BA.2 Omicron sememangnya lebih cepat merebak berbanding BA.1 serta mempunyai sifat menghindari-imun (immune-evasive) yang mengurangkan lagi kesan perlindungan vaksinasi terhadap jangkitan," kata penyelidik kajian itu.

Kajian yang masih belum dikaji semula dilakukan penyelidik di Statens Serum Institut (SSI), Universiti Copenhagen, Jabatan Perangkaan Denmark dan Universiti Teknikal Denmark.

"Jika seseorang dalam sesebuah rumah terdedah kepada BA.2 Omicron, ada mempunyai kira-kira 39 peratus kemungkinan untuk turut dijangkiti dalam tempoh tujuh hari.

"Berbanding mereka yang terdedah kepada BA.1, kebarangkalian ia adalah 29 peratus," kata pengarang utama kajian Frederik Plesner kepada Reuters.

Katanya, ia menunjukkan BA.2 adalah sekitar 33 peratus lebih berjangkit daripada BA.1.

Kes BA.2 juga sudah dilaporkan di Amerika Syarikat, Britain, Sweden dan Norway, tetapi ia pada tahap lebih rendah berbanding Denmark, yang menyumbang kira-kira 82 peratus daripada kes.

Kajian itu juga menunjukkan BA.2 secara relatif lebih baik daripada BA.1 dalam menjangkiti individu yang sudah divaksinasi serta mereka yang sudah diberikan dos penggalak, menjadi penunjuk 'perlindungan imuniti' yang lebih besar daripada subvarian.

Bagaimanapun, vaksin masih memainkan peranan penting, menurut kajian itu berikutan kedua-dua individu yang divaksinasi penuh dan sudah diberikan dos penggalak, adalah kurang dijangkiti berbanding subvarian, berbanding mereka yang tidak divaksinasi. - Reuters

Berita Harian X