Khamis, 20 Januari 2022 | 9:13pm
Seorang pesakit COVID-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Bellvitge di Barcelona. - Foto AGENSI
Seorang pesakit COVID-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Bellvitge di Barcelona. - Foto AGENSI

Sepanyol mengetuai gesaan COVID-19 dirawat seperti selesema

MADRID: Sepanyol menerajui gesaan mengajak negara menangani COVID-19 sebagaimana berhadapan penularan virus pernafasan endemik lain seperti selesema bermusim, walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menentang dan memberi amaran bahawa pendekatan itu adalah pramatang.

Ketika kerajaan dan penduduk di seluruh dunia terdesak untuk menamatkan wabak itu, perbincangan mengenai supaya virus itu diklasifikasikan semula sedang giat dilaksanakan.

"Sepanyol mahu mengetuai perdebatan ini kerana ketika ini waktu yang tepat dan sudah sampai untuk berbuat demikian," kata Menteri Kesihatannya, Carolina Darias, sambil menambah bahawa Sepanyol meminta Pusat Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) untuk 'mengkaji strategi baharu' menangani COVID-19.

Sepanyol kini berada dalam kedudukan yang baik untuk membuka perdebatan, mempunyai salah satu daripada kadar vaksinasi tertinggi di dunia dengan 90.5 peratus penduduknya berumur 12 tahun ke atas mendapat imunisasi sepenuhnya.

Namun, persoalan itu telah mencetuskan perselisihan faham antara kerajaan yang mahu kekal dengan normaliti yang ada manakala beberapa bahagian komuniti perubatan yang menyokong usaha itu.

Kerajaan sayap kiri Sepanyol turut menyokong usaha mengklasifikasikan semula COVID-19 sebagai penyakit endemik wabak bermusim yang lebih ringan dan boleh dialami manusia, seperti selesema.

Negara itu bekerjasama dengan komuniti saintifik untuk beralih daripada 'menguruskan pandemik kepada mengurus penyakit yang kami harap sains akan mengklasifikasikan semula sebagai endemik'," kata Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez minggu ini.

Varian Omicron mencetuskan lonjakan jangkitan, namun jumlah kematian dan kadar kemasukan hospital lebih rendah, manakala kebanyakan kerajaan mula melonggarkan sekatan, mengurangkan masa kuarantin dan melonggarkan kawalan sempadan.

"Memandangkan COVID-19 menjadi endemik, kita perlu menilai semula keperluan undang-undang dengan nasihat dan bimbingan," kata Perdana Menteri Britain, Boris Johnson semalam, mengumumkan bahawa sekatan ditarik balik di England.

Dalam perdebatan untuk 'keperluan untuk belajar hidup bersama COVID-19' seperti mana berhadapan dengan selesema bermusim, Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid, berkata kerajaan akan menetapkan rancangan jangka panjang bagi membolehkan semua dapat hidup dengan coronavirus dalam masa beberapa bulan.

Selasa lalu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, menegaskan bahawa wabak itu 'belum berakhir', memberi amaran bahawa varian baru ada 'kemungkinan muncul'.

Pertubuhan kesihatan PBB itu juga memberi amaran terhadap desakan sesetengah pihak mengenai keseriusan penyakit endemik itu.

"Endemik itu sendiri bermakna tidak baik - endemik bukan bermakna ia berada di sini selama-lamanya," kata pengarah kecemasan WHO, Michael Ryan, dalam persidangan meja bulat Agenda Davos mengenai ekuiti vaksin, dengan mengambil contoh malaria. - AFP

Berita Harian X