Ahad, 2 Januari 2022 | 6:54pm
Seorang guru mengagihkan pelitup muka kepada pelajar pada hari pertama kembali ke sekolah, ketika sekatan COVID-19 mula reda, di Fulham Boys School di London, Britain, pada 8 Mac 2021. - Foto REUTERS
Seorang guru mengagihkan pelitup muka kepada pelajar pada hari pertama kembali ke sekolah, ketika sekatan COVID-19 mula reda, di Fulham Boys School di London, Britain, pada 8 Mac 2021. - Foto REUTERS

Murid sekolah di England perlu pakai pelitup muka

LONDON: Murid sekolah di England diminta memakai pelitup muka sekembalinya mereka ke sekolah selepas cuti Krismas minggu depan berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang kini didominasi varian Omicron.

Setiausaha pendidikan, Nadhim Zahawi, berkata pihaknya mahu memaksimumkan jumlah pelajar di sekolah dan kolej selama yang mungkin.

"Antara langkah sementara yang boleh dilaksanakan adalah pemakaian pelitup muka dalam bilik darjah dalam beberapa minggu akan datang ini," katanya dalam artikel di Sunday Telegraph.

England adalah satu-satunya negara di United Kingdom (UK) yang tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam bilik darjah.

Dengan angka jangkitan yang terus meningkat dan individu dijangkiti virus berkenaan diminta mengasingkan diri selama tujuh hari, sekolah dan perkhidmatan awam lain berdepan gangguan kerana kekurangan kakitangan.

Kerajaan juga mengarahkan pengurus dalam sektor perkhidmatan awam untuk bersedia berdepan keadaan terburuk di mana 25 peratus kakitangan mungkin tidak dapat bertugas dalam tempoh beberapa minggu ini. - REUTERS

Berita Harian X