Rabu, 1 Disember 2021 | 8:20am
Pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat memperkenalkan semula langkah tambahan COVID-19 kepada penumpang selain menyekat kemasukan dari beberapa negara di selatan Afrika berikutan varian Omicron. - Foto fail AFP
Pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat memperkenalkan semula langkah tambahan COVID-19 kepada penumpang selain menyekat kemasukan dari beberapa negara di selatan Afrika berikutan varian Omicron. - Foto fail AFP

Golongan rentan belum divaksin wajar tangguh perjalanan - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa golongan rentan termasuk berusia 60 tahun ke atas yang belum menerima vaksinasi lengkap wajar menangguhkan perjalanan ke lokasi dengan penularan dalam komuniti varian COVID-19 Omicron.

"Individu yang belum divaksinasi sepenuhnya atau tidak mempunyai sejarah jangkitan SARS-CoV-2 sebelum ini dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang teruk sehingga boleh membawa maut, termasuk individu berumur 60 tahun ke atas atau golongan dengan komorbid (seperti penyakit jantung, kanser dan diabetes) dinasihat supaya menangguhkan perjalanan ke kawasan yang mempunyai penularan komuniti," kata WHO dalam kenyataan berhubung nasihat perjalanan mengenai varian Omicron.

Menurut WHO, varian baharu yang membimbangkan itu secara global, 'amat berisiko tinggi' dan ia mendorong banyak negara menutup sempadan masing-masing.

"Larangan perjalanan menyeluruh tidak akan menghalang penyebaran varian ini di peringkat antarabangsa, dan ia mengundang beban yang berat kepada kehidupan dan mata pencarian.

"Selain itu, ia boleh memberi kesan buruk kepada usaha kesihatan global ketika pandemik dengan menghalang negara untuk melaporkan dan berkongsi data epidemiologi dan penjujukan," katanya.

Varian Omicron yang pertama kali dilaporkan kepada WHO selepas dikesan di Afrika Selatan minggu lalu, kini sudah menular di beberapa negara.

Situasi itu mendorong peningkatan jumlah kerajaan yang memperkenalkan langkah perjalanan, termasuk melarang sementara ketibaan dari negara tempat varian itu ditemui.

Ahad lalu, WHO berkata, sebanyak 56 negara mengambil langkah waspada dengan melaksanakan sekatan perjalanan bertujuan mengurangkan kes import berkaitan varian baharu itu.

"Dijangka varian Omicron akan dikesan di semakin banyak negara apabila pihak berkuasa di setiap negara meningkatkan aktiviti pengawasan dan penjujukan mereka," katanya.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, sebelum ini memberitahu negara anggotanya supaya bertenang dan mengambil langkah 'rasional' sebagai tindak balas kepada penularan varian Omicron.

"WHO menggesaa semua negara untuk mengambil langkah rasional dan pengurangan risiko yang sepatutnya.

"Tindak balas global mesti tenang, selaras dan koheren," katanya.

Tedros turut berkata, masih belum jelas sejauh mana tahap bahaya bagi varian berkenaan.

"Kita masih mempunyai lebih banyak soalan daripada jawapan mengenai kesan Omicron terhadap penularan, keterukan penyakit, dan keberkesanan ujian, terapeutik dan vaksin," katanya.

Beliau turut memahami difahami kebanyakan negara ingin melindungi rakyat mereka 'terhadap varian yang belum difahami sepenuhnya'.

"Tetapi saya turut sedar beberapa negara anggota memperkenalkan langkah waspada secara menyeluruh yang tidak berasaskan bukti atau diketahui keberkesanannya, dan ia hanya akan memburukkan lagi ketidaksamaan," katanya. - AFP

Berita Harian X