Khamis, 25 November 2021 | 8:36pm
Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto EPA
Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto EPA

Putin pecat ketua perkhidmatan penjara

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin hari ini memecat ketua perkhidmatan penjara negara itu selepas bocor beberapa video penyeksaan yang mengerikan dan rogol dalam fasiliti itu.

Dalam satu kenyataan, Putin memecat Alexander Kalashnikov serta-merta yang menjadi sasaran sekatan pihak Barat kerana memenjarakan pengkritik Kremlin, Alexei Navalny.

Beliau cuma berkhidmat sebagai ketua penjara untuk tempoh dua tahun.

Pemimpin Russia itu kemudiannya melantik Arkady Gostev, seorang kolonel polis dari Kementerian Dalam Negeri untuk menggantikan tempat Kalashnikov.

Pemecatan itu dibuat selepas kumpulan hak asasi menyiarkan puluhan video penyeksaan dalam penjara yang terletak di pusat bandar Saratov bulan lalu.

Mereka menyeludup keluar dari fasiliti itu menerusi seorang bekas banduan, Sergei Savelyev yang melarikan diri dari Russia dan memohon suaka dari Perancis.

Awal bulan ini, perkhidmatan penjara Russia berkata, pihaknya memecat seramai 18 pegawai di wilayah Saratov yang ada kaitan dengan video berkenaan ada bertindak membuka beberapa siasatan.

Kremlin sebelum ini mengarahkan supaya kes itu disiasat.

Moscow meletakkan Savelyev, seorang rakyat Belarus dalam senarai dikehendaki pada bulan lalu tetapi mengeluarkan lelaki itu dari senarai berkenaan.

Semasa tempoh penjaranya, Savelyev bekerja sebagai pegawai penyelenggaraan teknologi maklumat (IT).

Dia memperoleh akses sistem pelayan dalaman penjara termasuk penjara lain di mana dia menjumpai rakaman pengawasan yang memaparkan berlaku penderaan.

Savelyev kemudiannya menyimpannya dalam pemacu kilat USB dan menyembunyikan berhampiran pintu keluar penjara.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gulagu.net selepas itu menerbitkan video penderaan itu.

Sistem penjara Russia yang luas didakwa sudah lama menjadi tempat penyeksaan dan keganasan seksual yang dilakukan terhadap banduan, menurut pemantau.

Namun, video itu memberi sisi baharu mengenai penderaan. - AFP

Berita Harian X