Ahad, 5 September 2021 | 4:10pm
Pekerja tanah perkuburan mengusung mayat pesakit COVID-19 untuk ditempatkan dalam liang kubur di tanah perkuburan di Depok, Indonesia. - Foto EPA
Pekerja tanah perkuburan mengusung mayat pesakit COVID-19 untuk ditempatkan dalam liang kubur di tanah perkuburan di Depok, Indonesia. - Foto EPA

Kematian COVID-19 global melebihi 4.5 juta

PARIS: Lebih 4.57 juta orang maut akibat COVID-19 di seluruh dunia sejak wabak bermula di China pada Disember 2019, menurut statistik terkini.

Sementara itu jumlah jangkitan global kini melebihi 221 juta kes manakala lebih 197 juta pesakit dilaporkan sembuh daripada serangan coronavirus itu.

Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara paling teruk terjejas di dunia dengan lebih 665,000 kematian disusuli oleh Brazil (lebih 583,000), India (lebih 440,000), Mexico (hampir 263,000) dan Peru dengan lebih 198,000 korban.

Berdasarkan laporan terkini, negara dengan jumlah kematian terbaru tertinggi adalah AS dengan 2,178 kes, diikuti oleh Mexico dengan 1,177 kes.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kebanyakan negara Afrika dijangka gagal mencapai sasaran penting 10 peratus golongan paling rentan dalam kalangan rakyatnya disuntik vaksin sebelum akhir bulan ini.

New Zealand melaporkan kematian pertama membabitkan varian Delta dan 20 kes baru akibat penularan di Auckland, menurut Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan semalam.

Berlainan pula halnya dengan Abu Dhabi, yang menamatkan perintah kuarantin bagi pelancong sudah menjalani vaksinasi susulan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencatat sifar kematian COVID-19 buat pertama kali sejak November lalu.

Korea Utara pula menolak sekitar tiga juta dos vaksin COVID-19 dari China, menyatakan ia harus diberikan kepada negara yang lebih memerlukan.

Cyprus pula akan memberikan suntikan penggalak COVID-19 ke atas penduduknya yang berusia 65 tahun ke atas dan penghuni rumah penjagaan yang sudah menerima vaksinasi penuh lebih enam bulan lalu.

Setakat ini, lebih 5.42 bilion dos vaksin COVID-19 sudah didaftar atau disuntik di seluruh dunia, menurut data Johns Hopkins University, dengan China kini mendahului mencatatkan lebih 2.09 bilion dos vaksin sudah didaftarkan.

Ini diikuti India dengan 684 juta dos dan AS Syarikat (lebih 373 juta) dos vaksin manakala negara lain yang mencatat jumlah melebihi 100 juta dos termasuk Brazil, Jepun dan Jerman.

Turki dan United Kingdom (UK) pula masing-masing melebihi 90 juta dos.

Di Asia Tenggara, Indonesia mendahului dengan sejumlah 103 juta dos didaftarkan, jauh meninggalkan negara lain, diikuti Malaysia dengan lebih 36 juta dos.

Filipina dan Thailand pula masing-masing mencatatkan 34 juta dos, disusuli Singapura di tangga kelima dengan lebih 8 juta dos. - AGENSI

Berita Harian X