Khamis, 19 Ogos 2021 | 12:41pm
 Foto AFP/hiasan
Foto AFP/hiasan

Keberkesanan vaksin terhadap Delta semakin hilang - Kajian

LONDON: Kajian kesihatan awam Britain mendapati perlindungan vaksin COVID-19 yang biasa digunakan terhadap varian Delta didakwa menjadi semakin lemah dalam tempoh tiga bulan.

Kajian juga mendapati mereka yang dijangkiti selepas menerima dua dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech atau AstraZeneca dikatakan mungkin berisiko lebih tinggi untuk menjangkiti orang lain berbanding varian sebelumnya.

Berdasarkan lebih tiga juta calitan hidung dan tekak yang diambil di seluruh Britain, Universiti Oxford mendapati keberkesanan dalam mencegah jangkitan merosot masing-masing menjadi 75 peratus dan 61 peratus selepas 90 hari suntikan kedua vaksin Pfizer atau AstraZeneca.

Keberkesanan itu dikatakan menurun masing-masing daripada 85 peratus dan 68 peratus yang dilihat selepas dua minggu suntikan dos kedua.

Kemerosotan keberkesanan lebih ketara kepada mereka yang berumur 35 tahun ke atas.

"Kedua-dua vaksin ini pada tahap dua dos masih berfungsi dengan baik terhadap Delta," kata Profesor Statistik Perubatan Oxford yang juga ketua penyelidik kajian itu, Sarah Walker.

Walker tidak terbabit dalam kerja-kerja berkaitan penghasilan vaksin AstraZeneca, yang dikembangkan pakar imunologi di Oxford.

Penyelidik tidak dapat menentukan tahap keberkesanan vaksin itu menurun selari dengan tempoh masa.

Kajian itu menunjukkan mereka yang dijangkiti walaupun sudah menerima vaksin lengkap, cenderung mempunyai viral load (kuantiti virus) sama dengan individu dijangkiti dan tidak mempunyai sejarah vaksinasi, yang menunjukkan kemerosotan jelas berbanding ketika varian Alpha masih dominan di Britain.

Dapatan Oxford sejajar dengan analisis oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

Ketika ini, kerajaan AS menggariskan rancangan untuk menjalankan suntikan penggalak vaksin COVID-19 secara meluas bulan depan di tengah peningkatan jangkitan varian Delta.

Pfizer sementara itu berkata, keberkesanan vaksinnya menurun dari semasa ke semasa.

Bulan lalu, AstraZeneca menyatakan ia masih meneliti berapa lama tempoh perlindungan vaksinnya dan adakah dos penggalak diperlukan untuk meningkatkan imuniti. - AGENSI

Berita Harian X