Selasa, 10 Ogos 2021 | 7:14am
Gambar hiasan. - Foto Google
Gambar hiasan. - Foto Google

Paip oksigen pecah, 9 pesakit COVID-19 maut

MOSCOW: Sembilan pesakit COVID-19 di sebuah hospital di selatan bandar Vladikavkaz, maut apabila paip oksigen bawah tanah pecah dan memutuskan bekalan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) semalam.

Menurut agensi berita TASS yang memetik Kementerian Kesihatan tempatan, sembilan pesakit itu yang bergantung kepada alat ventilator meninggal dunia akibat kekurangan oksigen.

"Seramai 71 pesakit berada dalam wad ICU hospital berkenaan tetapi bukan semua (menerima) bekalan oksigen," kata TASS memetik kementerian itu.

Pemangku Ketua Wilayah Utara Ossetia, Sergei Minyaylo berkata, berlaku ledakan di paip oksigen bawah tanah sekali gus menyebabkan bekalan oksigen terputus.

"Berdasarkan laporan, paru-paru sembilan pesakit COVID-19 yang meninggal dunia sudah mengalami 'kerosakan 90 peratus' sebelum kejadian itu. Terlalu awal untuk menyalahkan kematian mereka dengan insiden berkenaan.

"Kita segera mengambil tindakan pantas sebaik kejadian dilaporkan dan berjaya di tangani dalam tempoh 30 hingga 40 minit. Pesakit lain dipindahkan dan disediakan silinder oksigen," katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya yang terletak di wilayah Kaukasus, Utara Russia tidak mempunyai masalah untuk membekalkan oksigen ke hospitalnya.

Russia adalah negara keempat di dunia yang paling teruk dilanda pandemik COVID-19 dengan hampir 6.5 juta kes dan 165,650 kematian. - AFP.

Berita Harian X