Khamis, 22 Julai 2021 | 12:44pm
Pembeli melihat rak kosong di Tesco di Bathgate, West Lothian. - Foto SWNS
Pembeli melihat rak kosong di Tesco di Bathgate, West Lothian. - Foto SWNS

Situasi 'pingdemic' jejaskan bekalan pasar raya Britain

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson diberi amaran oleh pengusaha pusat beli-belah bahawa beliau hanya mempunyai tempoh 48 jam untuk memperbaiki situasi 'pingdemic' atau pembeli akan berhadapan rak kosong berikutan putus bekalan.

Situasi pingdemic merujuk kepada ratusan ribu orang menerima makluman melalui aplikasi bahawa mereka perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah selepas dianggap sebagai kontak rapat dengan seseorang yang positif COVID-19.

Ia menyebabkan sebilangan besar pekerja pasar raya terpaksa mengasingkan diri selepas menerima makluman daripada aplikasi NHS COVID, sekali gus menjejaskan bekalan.

Aplikasi NHS COVID. - Foto ALAMY
Aplikasi NHS COVID. - Foto ALAMY

Johnson memohon maaf di atas situasi itu tetapi enggan mengubah sistem aplikasi.

Memetik laporan The Sun, angka yang dikeluarkan menunjukkan hingga satu juta orang, iaitu dua kali ganda daripada angka seminggu sebelumnya yang terpaksa tinggal di rumah dan tidak bekerja.

Krisis akan menyebabkan kekurangan bekalan di bahagian daging segar, salad, minuman botol dan peti sejuk beku.

Seorang veteran industri berkata, beberapa pasar raya memaklumkan mereka akan menghadapi masalah dalam beberapa hari jika tiada sebarang tindakan diambil.

"Beberapa cawangan terpaksa memendekkan waktu operasi dan ada yang berdepan masalah membawa masuk produk dan menyusun ke rak," katanya.

Bagaimanapun ada pengusaha meyakinkan pembeli bahawa ia membabitkan hanya beberapa baris dan pelanggan tidak perlu melakukan pembelian panik.

Andrew Opie daripada Konsortium Peruncitan British berkata, kerajaan perlu bertindak pantas dalam menangani hal ini.

Beliau berkata, peruncit dan pembekal, yang memainkan peranan penting ketika wabak harus dibenarkan bekerja dengan syarat mereka sudah menerima dua dos vaksin atau disahkan negatif untuk memastikan tidak ada gangguan kepada orang ramai mendapatkan bekalan makanan dan barang lain .

"Dengan kes penularan tempatan yang meningkat, jumlah kakitangan runcit yang sihat tetapi terpaksa kuarantin kendiri turut meningkat dengan cepat, sekali gus mengganggu operasi runcit, "katanya.

Semalam foto tersebar menunjukkan rak kosong di pasar raya Tesco, Sainsbury's, Asda, Morrisons, Iceland dan Lidl di Manchester, Bristol, Edinburgh dan Southampton.

- Foto LNP
- Foto LNP

Terdapat kekurangan bekalan buah segar dan sayuran, makanan sejuk beku, air dan bir di Tesco di Cambridge. Asda yang berdekatan pula kekurangan bekalan roti dan sayur-sayuran.

Persatuan Pemprosesan Daging British berkata, barisan pengeluarannya mula terkesan kerana ramai pekerja menjalani kuarantin kendiri.

Ketua eksekutifnya Nick Allen berkata, rasa kecewa mula melanda industri itu.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya berjaya mengekalkan rantaian bekalan tetapi ia mula menunjukkan kesan.

"Semangat ini tidak dibantu oleh pesanan yang membingungkan daripada kerajaan.

"Kesannya sudah mula dilihat di peringkat runcit dan di restoran, semua orang bergelut untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Johnson tetap bertegas dengan arahan vaksin dua dos dan mesti menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari jika dimaklumkan oleh aplikasi terbabit.

"Saya memohon maaf kepada semua orang sama ada dalam perkhidmatan awam dan swasta yang terkesan dan berdepan kesulitan," katanya.

Beliau yang menjalani tempoh kuarantin selepas menjadi kontak kepada Setiausaha Kesihatan Sajid Javid yang disahkan positif, memberitahu Ahli Parlimen melalui pautan video. - AGENSI

Berita Harian X