Jumaat, 16 Julai 2021 | 7:28pm
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. Foto AGENSI
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus. Foto AGENSI

China mesti tingkat kerjasama kesan asal-usul COVID-19 - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa China memberi kerjasama lebih baik dalam siasatan fasa seterusnya berhubung asal-usul pandemik COVID-19.

Bercakap kepada wartawan di Geneva, Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengakui bahawa desakan awal bagi menafikan kemungkinan COVID-19 mungkin terlepas dari makmal perlu diteliti semula.

Katanya, WHO sedang memulakan siasatan baharu berhubung asal-usul COVID-19 dan berharap mendapat kerjasama lebih baik daripada semua pihak bagi mengenal pasti asal-usulnya.

Agensi kesihatan PBB itu menghadapi tekanan semakin hebat bagi menjalankan siasatan yang lebih mendalam mengenai asal-usul wabak berkenaan.

WHO hanya berjaya menghantar pasukan pakar antarabangsa bebas ke Wuhan, China pada Januari, lebih setahun selepas COVID-19 pertama kali muncul di lokasi itu pada akhir 2019, bagi membantu pasukan China menentukan asal-usul wabak.

Tedros mengakui bahawa salah satu cabaran utama dalam fasa pertama penyelidikan adalah mendapatkan akses kepada data utama kerana ia tidak dikongsi secara telus oleh China.

"Sekarang kami merancang fasa kedua dan kami meminta China untuk bersikap telus, terbuka dan bekerjasama, terutama mengenai data utama yang kami minta pada awal wabak," katanya.

Laporan itu lama tertangguh dan fasa pertama siasatan diterbitkan pada akhir bulan Mac, dengan pasukan antarabangsa dan pasukan China tidak membuat kesimpulan konklusif mengenai asal-usul wabak.

Sebaliknya, mereka menilai beberapa hipotesis berdasarkan kemungkinan dan mendapati kemungkinan virus itu berpindah daripada kelawar kepada manusia melalui sejenis lagi haiwan perantaraan.

Pada masa sama, kedua-dua pasukan berkenaan menolak teori bahawa virus itu mungkin bocor daripada makmal dan menganggapnya 'sangat tidak mungkin'.

Siasatan dan laporan itu berdepan kritikan kerana kurang telus dan tidak mendapat akses penuh bagi menilai teori kebocoran makmal dengan lebih mendalam. - AGENSI

Berita Harian X