Rabu, 7 Julai 2021 | 10:02am
Mulai 16 Ogos, kontak rapat di UK yang sudah lengkap divaksin, tidak perlu dikuarantin. - Foto AFP
Mulai 16 Ogos, kontak rapat di UK yang sudah lengkap divaksin, tidak perlu dikuarantin. - Foto AFP

Kontak rapat tidak perlu kuarantin

LONDON: United Kingdom menetapkan individu yang sudah mendapat vaksinasi penuh, termasuk kanak-kanak, tidak perlu menjalani kuarantin sekiranya menjadi kontak rapat kepada individu positif COVID-19.

Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid, berkata hanya individu yang disahkan positif COVID-19 perlu menjalani kuarantin.

Katanya, ketetapan itu berkuat kuasa mulai 16 Ogos ini.

Beliau berkata, kejayaan program imunisasi membolehkan sekatan dan peraturan kuarantin dimansuhkan bagi penerima yang sudah lengkap dua dos vaksin.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Boris Johnson menetapkan pelan untuk mengakhiri sekatan sosial dan ekonomi susulan penularan COVID-19 di England, mulai 19 Julai.

Langkah itu menjadi ujian sama ada program vaksinasi di England memberi perlindungan untuk menghadapi varian Delta.

Negara lain dalam gabungan UK, Scotland, Wales dan Ireland Utara menetapkan peraturan kesihatan sendiri dan bergerak lebih perlahan.

Johnson menjangka program pelalian yang berjaya melemahkan hubungan di antara jangkitan dan kemasukan ke hospital, boleh mengurangkan peningkatan jumlah pesakit COVID-19 di hospital.

Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid. - Foto AFP
Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid. - Foto AFP

Javid yang baharu dilantik bulan lalu menggantikan Matt Hancock menggariskan kepentingan mengatasi masalah kesihatan, ekonomi dan cabaran pendidikan yang semakin meningkat akibat wabak itu.

Javid sebelum ini berkata, ketika sekatan dimansuhkan pada 19 Julai, mungkin ada 50,000 kes COVID-19 sehari, iaitu dua kali ganda daripada kadar semasa dan boleh mencapai 100,000.

Britain melaporkan 28,773 kes baru pada Selasa dan 64.3 peratus penduduk kini lengkap dua dos vaksin. - AFP

Berita Harian X