Sabtu, 3 Julai 2021 | 10:54am
Petugas kesihatan mengiringi seorang pesakit COVID-19 mendapatkan rawatan di hospital di Kommunarka, luar Moscow. - Foto AFP
Petugas kesihatan mengiringi seorang pesakit COVID-19 mendapatkan rawatan di hospital di Kommunarka, luar Moscow. - Foto AFP
Penularan varian COVID-19 Delta kini dikesan di 98 negara di seluruh dunia. - Foto EPA
Penularan varian COVID-19 Delta kini dikesan di 98 negara di seluruh dunia. - Foto EPA

Dunia dalam bahaya akibat varian COVID-19 Delta

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memberi amaran varian COVID-19 Delta yang cepat menular dan sentiasa bermutasi mengakibatkan dunia kini dalam tempoh sangat bahaya.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, turut mendesak pemimpin negara di seluruh dunia supaya mempercepatkan program vaksinasi dan meningkatkan keberkesanan kesihatan awam bagi memerangi pandemik COVID-19 akibat varian Delta.

"Penularan varian COVID-19 Delta kini dikesan di 98 negara di seluruh dunia selain menular dengan cepat sama ada di negara yang kadar vaksinasi tinggi dan rendah.

"Kita juga mendapati varian COVID-19 Delta kini menjadi dominan ketika ini, terutamanya di beberapa negara dan dunia kini berada dalam tempoh yang sangat bahaya," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan laman web Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AGENSI
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AGENSI

Dr Tedros berkata, WHO menggesa setiap negara melaksanakan semua langkah penting bagi memerangi peningkatan kes COVID-19 akibat varian Delta.

"Varian COVID-19 Delta ini sangat bahaya dan terus menular dan bermutasi, di mana memerlukan pemerhatian khusus dan langkah lebih berwaspada terhadap respons kesihatan awam.

"Sistem kesihatan dan sosial perlu dipertingkatkan dengan melakukan lebih banyak ujian saringan, pengasingan pesakit, penjagaan rawatan pesakit, penggunaan pelitup muka, penjarakan fizikal dan mengelak perhimpunan sosial," kata Dr Tedros.

Justeru, beliau juga meminta supaya pemimpin dunia berganding bahu dan bekerjasama untuk memastikan 70 peratus populasi setiap negara sudah divaksinasi menjelang awal tahun depan.

Katanya, WHO meminta pemimpin dunia seluruh dunia untuk bekerjasama bagi memastikan dalam tempoh sehingga tahun hadapan, 70 peratus masyarakat setiap negara divaksinasi.

"Ini adalah cara terbaik untuk membendung pandemik ini, menyelamatkan nyawa, mengukuhkan pemulihan ekonomi global, dan melindungi daripada varian yang lebih berbahaya."

Setakat ini, Dr Tedros berkata, sebanyak tiga bilion dos vaksin diagihkan secara global, dengan kurang daripada dua peratus sudah diedarkan kepada negara-negara miskin.

Beliau juga berkata, WHO turut menggesa syarikat pengeluar vaksin COVID-19 berkongsi pengetahuan dan teknologi supaya dapat mempercepat pengembangan hub pembuatan vaksin mRNA baharu.

"Semakin cepat kita mula membina lebih banyak pusat vaksin dan meningkatkan kapasiti vaksin global, semakin cepat kita dapat mengurangkan kes kematian," katanya.

Berita Harian X