Jumaat, 18 Jun 2021 | 9:51pm

Itali wajibkan pengembara Britain dikuarantin 5 hari

ROM: Itali mengenakan perintah kuarantin selama lima kepada pengembara dari Britain selepas negara itu menyaksikan peningkatan kes COVID-19.

Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan, Roberto Speranza, yang turut memaklumkan lanjutan larangan terhadap pengembara dari India, Bangladesh dan Sri Lanka.

"Saya sudah menandatangani perintah baharu, kuarantin wajib selama lima hari wajib menjalani ujian saringan kepada pengembara dari Britain," tulisnya menerusi Facebook.

Speranza berkata, Itali hanya membenarkan kemasukan pengembara yang tiba dari Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Jepun serta memiliki Sijil Hijau yang dikeluarkan EU.

Sijil digital itu berkuat kuasa pada 1 Julai ini, untuk mengesahkan sama ada pemiliknya sudah divaksin atau sebaliknya.

Buat masa ini, pengembara yang tiba dari AS, Jepun dan Kanada perlu mengemukakan keputusan negatif ujian COVID-19 dan dikuarantin selama 10 hari, melainkan mereka tiba dari pesawat yang disahkan bebas wabak berkenaan.

Britain semalam merekodkan 11,007 kes harian COVID-19 baharu, iaitu kenaikan melebihi 10,000 kes sejak Februari lalu, selain menyaksikan peningkatan varian Delta.

Itali pula antara negara Eropah yang terjejas akibat pandemik itu, namun kadar jangkitan menurun dengan mendadak sejak beberapa minggu lalu dan kebanyakan perintah kawalan yang dikenakan sebelum ini, sudah dibatalkan. - AFP

Berita Harian X