Rabu, 16 Jun 2021 | 10:54am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Vaksinasi cegah pesakit COVID-19 varian Delta ke hospital

LONDON: Satu kajian di United Kingdom mendapati, vaksin COVID-19 berkesan mencegah pesakit dijangkiti virus varian Delta menjalani rawatan di hospital.

Agensi Kesihatan Awam England (PHE) melaporkan, satu dos vaksin COVID-19 Pfizer boleh melindungi sehingga 94 peratus pesakit daripada dimasukkan ke hospital akibat dijangkiti virus varian Delta.

Keputusan itu lebih baik, berbanding dengan 85 peratus perlindungan dari jenis vaksin sama terhadap varian Alpha - ia juga menjadi petanda baik terhadap usaha vaksinasi di seluruh dunia yang bertujuan untuk menamatkan pandemik itu.

Menurut analisis 14,000 kes yang dijalankan PHE, jenis vaksin lain juga mempamerkan keputusan yang sama iaitu Oxford-AstraZeneca yang melindungi sehingga 71 peratus daripada varian Delta, berbanding 76 peratus terhadap varian Alpha sebelum ini.

Selepas melengkapkan pengambilan dos kedua vaksin Pfizer dan AstaZeneca, perlindungan terhadap jangkitan varian Delta masing-masing meningkat kepada 96 dan 92 peratus, lapor Arab News.

PHE juga menyimpulkan dalam laporannya bahawa usaha vaksinasi itu mampu menurunkan kadar kemasukan pesakit yang dijangkiti COVID-19 varian Aplha dan Delta ke hospital.

Ketua Pegawai Perubatan England, Prof Chris Whitty turut memuji kajian itu dan menggambarkan ia sebagai perkara yang 'sungguh menggembirakan'.

Sebelum ini, satu kajian di Scotland mendapati varian COVID-19 Delta adalah 60 peratus lebih mudah berjangkit isi rumah berbanding varian lain, dengan 85 peratus pesakit perlu dirawat di hospital. - AGENSI

Berita Harian X