Ahad, 6 Jun 2021 | 12:32pm
Pekerja kesihatan memberikan dos vaksin Pfizer-BioNTech kepada orang ramai di pusat vaksinasi sementara yang ditubuhkan di dewan Parc des Expositions of Toulouse, Perancis. - Foto AFP
Pekerja kesihatan memberikan dos vaksin Pfizer-BioNTech kepada orang ramai di pusat vaksinasi sementara yang ditubuhkan di dewan Parc des Expositions of Toulouse, Perancis. - Foto AFP

COVID-19: Lebih 2.9 bilion dos vaksin diberikan

ANKARA: Lebih 2.9 bilion dos vaksin COVID-19 diberikan kepada penduduk di seluruh dunia, angka yang dikumpul oleh Our World in Data, semalam.

China berada di tempat teratas berdasarkan jumlah global iaitu lebih 744.4 juta dos suntikan, diikuti Amerika Syarikat (AS) sebanyak 299.1 juta dos suntikan, menurut laman web penjejakan.

India sebanyak 227.8 juta dos suntikan, Brazil (70.74 juta), United Kingdom (66.75 juta), Jerman (54.24 juta), Perancis (38.81 juta), Itali (37.7 juta), Mexico (33.78 juta) dan Russia (30.5 juta).

Turki pula berada di tangga ke-11 dalam senarai dengan lebih 30.32 juta dos suntikan, diikuti Sepanyol, Indonesia dan Kanada.

Negara dengan dos paling banyak diberikan kepada penduduk adalah negara pulau Afrika Timur di Seychelles dengan 136.74 dos vaksin bagi setiap 100 orang.

Sebilangan besar vaksin COVID-19 diberikan dalam dua dos, iaitu jumlah suntikan yang diberikan tidak sama dengan jumlah individu yang diberi vaksin sepenuhnya.

Sejak Disember 2019, wabak COVID-19 sudah meragut lebih 3.71 juta nyawa di 192 negara dan wilayah dengan lebih 172.64 juta kes dilaporkan di seluruh dunia, menurut Universiti Johns Hopkins di AS.

AS, India dan Brazil kekal sebagai negara paling teruk daripada jumlah jangkitan dan kematian akibat virus berkenaan. - AGENSI

Berita Harian X