Ahad, 23 Mei 2021 | 9:43am
Vaksin Pfizer, AstraZeneca berkesan terhadap varian India. - Foto AFP
Vaksin Pfizer, AstraZeneca berkesan terhadap varian India. - Foto AFP

COVID-19: Vaksin Pfizer, AstraZeneca berkesan terhadap varian India - Kajian

LONDON: Dua dos suntikan vaksin Pfizer dan AstraZeneca memberikan tahap perlindungan yang serupa ke atas pesakit COVID-19 dijangkiti varian dari India B.1.617.2 dan varian United Kingdom (UK).

Bagaimanapun, kedua-dua vaksin berkenaan hanya 33 peratus berkesan terhadap varian India, tiga minggu selepas mengambil dos pertama.

Keberkesanan sebanyak 50 peratus pula direkodkan ke atas varian UK.

Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock menyifatkan hasil keputusan yang diperoleh itu sebagai 'penemuan baharu'.

Agensi Kesihatan Awam England (PHE) yang menjalankan kajian terbabit mengatakan, vaksin berkenaan mungkin lebih berkesan untuk mencegah kemasukan dan kematian di hospital.

Vaksin Pfizer didapati 88 peratus berkesan untuk menghentikan penyakit simptomatik dari varian India dua minggu selepas suntikan dos kedua, berbanding keberkesanan 93 peratus terhadap varian UK.

Bagi vaksin AstraZeneca pula, ia berkesan 60 peratus terhadap varian India, berbanding 66 peratus ke atas varian UK.

PHE berkata, perbezaan keberkesanan di antara vaksin selepas dua dos dapat dijelaskan oleh fakta bahawa suntikan dos kedua AstraZeneca lebih lambat, berbanding Pfizer yang sebelum ini perkara itu sudah dipersetujui. - Agensi

Berita Harian X