Rabu, 28 April 2021 | 2:12pm

1 dos vaksin COVID-19 kurangkan penularan hingga 50 peratus

LONDON: Satu dos vaksin Pfizer atau AstraZeneca mampu kurangkan sehingga 50 peratus kebarangkalian seseorang dijangkiti COVID-19 menyebarkannya kepada isi rumah lain.

Kajian Public Health England (PHE) mendapati individu dijangkiti tiga minggu selepas menerima suntikan pertama, kemungkinan menyebarkannya kepada isi rumah atau individu tidak divaksin berkurangan 38 hingga 49 peratus.

Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock, menyifatkannya sebagai berita hebat yang membuktikan vaksin menyelamatkan nyawa.

"Kajian ini adalah data global yang paling nyata lagi komprehensif menunjukkan ia menghentikan penularan virus pembunuh itu.

"Ini memperkukuhkan lagi bahawa suntikan vaksin adalah strategi terbaik untuk keluar daripada pandemik kerana ia melindungi anda dan dapat mencegah daripada sengaja menjangkiti isi rumah lain," katanya.

Kajian itu berasaskan data daripada lebih 57,000 kontak dalam 24,000 isi rumah  dijangkiti yang sudah menerima vaksin berbanding hampir satu juta kontak kes tidak divaksin.

Kajian terdahulu menunjukkan risiko individu diberi vaksin mengalami jangkitan bergejala berkurangan hingga 65 peratus, empat minggu selepas dos pertama.

menurut kajian itu, isi rumah dianggap sebagai 'berisiko tinggi' bagi penyebaran dan hasil hampir sama boleh dijangka dalam aturan lain dengan risiko penularan sama seperti rumah kongsi dan penjara.

Ketua Imunisasi PHE, Mary Ramsay, berkata vaksin bukan saja dapat mengurangkan kesan penyakit dan mencegah ratusan kematian setiap hari, sebaliknya boleh mengurangkan risiko menyebarkan COVID-19 kepada orang lain.

Kajian PHE terdahulu menganggarkan kempen vaksin yang berjaya di Britain mampu mencegah 10,400 kematian bagi golongan berusia 60 ke atas, pada akhir Mac lalu. - AFP

Berita Harian X