Ahad, 25 April 2021 | 6:50am
Jururawat dari etnik Misak, Anselmo Tunubala, 49, menyuntik vaksin Sinovac kepada warga emas di Colombia. - Foto AFP
Jururawat dari etnik Misak, Anselmo Tunubala, 49, menyuntik vaksin Sinovac kepada warga emas di Colombia. - Foto AFP

Lebih 1 bilion dos vaksin COVID-19 diagih di dunia

PARIS: Lebih satu bilion dos vaksin COVID-19 diberikan kepada penduduk dunia, kurang lima bulan selepas program inokulasi besar-besaran pertama bermula.

Berdasarkan data dikumpul AFP semalam, sekurang-kurangnya 1,002,938,540 dos diberikan di 207 negara dan wilayah.

Lebih separuh daripadanya atau 58 peratus diberikan di tiga negara dengan 225.6 juta dos di Amerika Syarikat (AS), China (216.1 juta) dan India (138.4 juta).

Bagaimanapun, dari segi jumlah populasi setiap negara, Israel mendahului dengan hampir enam daripada setiap 10 rakyatnya divaksin.

Ia diikuti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan 51 peratus daripada jumlah penduduk sekurang-kurangnya menerima satu suntikan, Britain (49 peratus), AS (42 peratus), Chile (41 peratus), Bahrain (38 peratus) dan Uruguay (32 peratus).

Di negara Kesatuan Eropah (EU), 128 juta dos diberikan kepada 21 peratus penduduknya dan Malta mendahului senarai 27 negara blok dengan 47 peratus penduduk divaksin, manakala Hungary (37 peratus).

Jerman pula merekodkan 22.6 peratus penduduknya divaksin, manakala Sepanyol (22.3 peratus), Perancis (20.5 peratus) dan Itali (19.9 peratus).

Pemberian vaksin meningkat sekali ganda dalam tempoh kurang sebulan berikutan program inokulasi diperhebatkan di seluruh dunia.

Sementara itu, majoriti negara miskin turut memulakan program vaksinasi menerusi program Covax. Bagaimanapun program inokulasi masih lagi diutamakan di negara berpendapatan tinggi sebagaimana diperjelaskan Bank Dunia apabila negara-negara yang hanya mewakili 16 peratus penduduk dunia sudah memvaksin 47 peratus rakyat mereka.

Negara berpendapatan rendah hanya merekodkan 0.2 peratus pemberian vaksin.

Sebanyak 12 negara masih belum memulakan program vaksinasi termasuk tujuh negara di Afrika (Tanzania, Madagascar, Burkina Faso, Chad, Burundi, Republik Afrika Tengah) dan Eritrea; tiga di Oceania (Vanuatu, Samoa dan Kiribati; satu di Asia (Korea Utara); serta satu di Caribbean (Haiti).

Walaupun berdepan pelbagai masalah sejak ia diluluskan penggunaannya, vaksin dibangunkan AstraZeneca dan Universiti Oxford adalah jenis yang paling banyak digunakan dengan tiga perempat negara dunia atau 156 negara dan wilayah menggunakannya.

Pesaingnya yang dibangunkan Pfizer dan BioNTech digunakan di 91 negara atau 44 peratus, manakala vaksin dibangunkan Moderna digunakan di 46 negara (22 peratus).

Vaksin Sinopharm pula digunakan sekurang-kurangnya di 41 negara (20 peratus), Sputnik V (32 negara atau 15) dan Sinovac digunakan sekurang-kurangnya di 21 negara (10 peratus). - AFP

Berita Harian X